EXCOSELANGOR

Lantikan ahli politik galas pengurusan atasan PBT boleh dibuat

SHAH ALAM, 12 NOV: Pelantikan pengurusan atasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam kalangan ahli politik boleh dibuat sekiranya Kerajaan Negeri berhasrat melaksanakannya.

Bagaimanapun, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, banyak perkara perlu dipertimbangkan bagi memastikan seseorang ahli politik itu dapat menggalas tanggungjawab sebaik mungkin.

“Banyak perkara yang kami perlu pertimbangkan seperti pengalaman pengurusan kerana untuk menguruskan sesebuah PBT bukan satu tugas mudah,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PAKATAN-Taman Templer) di Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Terdahulu, Harumaini Omar (PAKATAN-Batang Kali) meminta pencerahan sama ada Kerajaan Negeri bercadang untuk melaksanakan skim pertukaran pegawai antara PBT bagi meningkatkan produktiviti dan menambah pengalaman mereka.

Sze Han berkata, Kerajaan Negeri tidak menetapkan sebarang mekanisme bagi melaksanakan pertukaran pengurusan atasan dari satu PBT ke PBT lain kerana tertakluk kepada keperluan semasa selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Katanya, pertukaran pegawai selain pengurusan atasan hanya dilaksanakan mengikut keperluan PBT berkenaan.

“Buat masa ini urusan pelantikan pengurusan atasan membabitkan Datuk Bandar, Yang Dipertua (YDP), Timbalan Datuk Bandar dan Timbalan YDP termasuk Setiausaha adalah berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) melalui kelulusan Pihak Berkuasa Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Ia juga memerlukan kelulusan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2008 (dasar dan prosedur pelantikan secara peminjaman, pertukaran sementara dan pertukaran tetap).

“Ini salah satu kaedah pelantikan pegawai sedang berkhidmat yang boleh digunakan sesebuah agensi untuk mendapatkan perkhidmatan pegawai berpengalaman, berkemahiran dan bersesuaian dengan keperluan agensi berkenaan bagi mengisi jawatan terbuka atau tertutup,” katanya.


Pengarang :