AGENDANASIONAL

Laporan polis dibuat terhadap Dr Dominic kerana memfitnah pentadbiran PAKATAN

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Satu laporan polis telah dibuat terhadap Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia Dr Dominic Lau kerana memfitnah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang kononnya akan membawa masuk guru dari Arab Saudi untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah negara ini.

Laporan dibuat oleh Mahmmod Kassim, Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik atas perbuatan Lau memfitnah serta menyebarkan persepsi negatif terhadap Maszlee dan pentadbiran PAKATAN.

“Guru-guru dari Arab Saudi sebenarnya akan dihantar ke Malaysia untuk belajar daripada sistem pendidikan negara ini di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Mereka akan didedahkan dengan metod pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Mereka bukan diupah untuk mengajar murid-murid di negara kita,” kata Mahmmod dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, memfitnah dengan kesalahan fakta dan penyebaran persepsi negatif sebegini boleh menganggu gugat hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi dan membantutkan proses silang pendidikan serta kemajuan negara.

Kementerian Pendidikan memaklumkan persetujuan itu dicapai melalui pertemuan Maszlee bersama Menteri Pendidikan Arab Saudi, Dr Hamad Mohammed Al Shaikh, di mana guru-guru subjek berkenaan dihantar ke Malaysia bagi mendapatkan pengalaman di sini.

-BERNAMA


Pengarang :