ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze, bergambar bersama pelajar sekolah ketika Sesi Perjumpaan Bersama ADUN Selangor Untuk Belia DUN Subang Jaya di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 11 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lawatan ke DNS beri pendedahan awal kepada pelajar

SHAH ALAM, 11 NOV: Pengalaman berharga buat belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya apabila diberi peluang berkunjung ke Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi melihat secara lebih dekat perjalanan Mesyuarat Ketiga Persidangan Penggal Kedua DNS yang Ke-14, hari ini.

Lawatan anjuran pejabat DUN itu disertai seramai 30 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ12 bersama tiga guru pengiring.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata, program itu sebagai pendedahan kepada pelajar berkaitan sistem pentadbiran dan polisi di negara ini selain memberi peluang menyaksikan sesi perbahasan isu-isu semasa di DNS.

“Pada masa sama, kita mahu mereka bergaul dan mengenali kesemua ADN yang terdapat di Selangor kerana mungkin ada dalam kalangan mereka masih tidak mengenali wakil rakyat setempat.

“Kita juga mahu meningkatkan kesedaran pelajar berhubung sistem pilihan raya di negara ini memandangkan mereka yang berumur 15 tahun dibenarkan mengundi pada pilihan raya akan datang selepas had mengundi diturunkan dari 21 tahun kepada 18 tahun,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas Sesi Perjumpaan Bersama ADN Selangor untuk Belia DUN Subang Jaya, di Bilik Gerakan Bangunan Annex, di sini.


Pengarang :