AGENDANASIONAL

Lebih 20 akaun Facebook palsu burukkan calon PAKATAN dikesan

PONTIAN, 6 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengesan lebih 20 akaun Facebook palsu yang memburukkan calon parti itu dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor Zulkefly Ahmad berkata kewujudan akaun itu berniat untuk “merendah-rendahkan” calon PAKATAN, Karmaine Sardini, 66, dengan cara yang sangat negatif.

“Jumlah (akaun FB palsu) saya rasa banyak dan lebih 20 yang dalam pemantauan termasuk berkaitan calon kita, Haji Karmaine Sardini,” katanya kepada pemberita ketika menyertai kempen di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi Peradin di Kampung Belokok dekat sini malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri berkata pihaknya akan terus memantau keadaan ini bagi memastikan semua calon boleh berkempen secara sihat.

Pihaknya juga kata beliau, tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika didapati terdapat unsur-unsur fitnah disebarkan oleh akaun berkenaan.

“Namun sehingga kini tiada laporan rasmi diterima berhubung akaun ini dan oleh itu, kita menggalakkan rakyat atau pengamal media yang mendapat berita palsu supaya membuat laporan polis atau kepada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) secara dalam talian,” katanya. 

-BERNAMA 


Pengarang :