SELANGOR

Lebih 400 sertai Serendah Eco Run 2019

SHAH ALAM, 18 NOV: Lebih 400 peserta termasuk lima pelari dari Kenya menyertai Serendah Eco Run 2019 di Telaga Tujuh Serendah, di sini, semalam.

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Dato Dr Ammar Abd Ghapar berkata, penganjuran acara itu langkah terbaik dalam memperkenalkan Serendah kepada peserta terutama yang bukan datang dari Selangor.

Katanya, ia juga medium terbaik dalam mempromosikan Serendah kepada umum memandangkan tahun hadapan adalah Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

“Dengan adanya larian ini, mereka dapat menyaksikan sendiri keindahan flora, fauna di sini dan saya yakin ia akan diuar-uarkan melalui media sosial masing-masing.

“Semoga penganjuran pada tahun depan akan bertambah lagi peserta dengan sokongan yang akan diberikan oleh Tourism Malaysia dan dimasukkan dalam kalendar TMM 2020 nanti,” katanya yang juga Ketua Sekretariat Tahun Melawat 2020 sebagai perasmi majlis penutup larian tersebut.

Dr Ammar berkata, setiap orang mempunyai peranan yang perlu dimainkan untuk kempen TMM 2020 dan kerajaan akan memastikan ia menjadi pemangkin untuk mencapai sasaran ditetapkan bawah Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia.

“Peserta Serendah Eco Run juga dapat merasai pengalaman unik di setiap laluan lestari ini sekali gus dapat ditonjolkan untuk memberi pelbagai idea dan aktiviti percutian yang menarik di Malaysia dalam mempromosikan TMM 2020,” katanya.

Serendah Eco Run membabitkan kategori ‘Fun Run’ dengan jarak tujuh kilometer (km) manakala Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka dan Veteran Terbuka masing-masing dengan jarak 18 km.

Selain itu, antara pengisian lain acara adalah program tanam pokok kerjasama Pejabat Hutan Selangor, Pertandingan Karaoke, Tayangan Wayang Pacak, Persembahan Kebudayaan, Mewarna Kanak-kanak, Pameran dan cabutan nombor bertuah.


Pengarang :