Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Lebih 6,000 Rumah Selangorku bakal dibina tahun depan

ccsb-ads

SHAH ALAM, 1 NOV: Sebanyak 6,379 unit Rumah Selangorku akan dibina melalui 19 projek perumahan khusus buat rakyat di negeri ini pada 2020.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata pembinaan itu sejajar sasaran Kerajaan Negeri menyiapkan 22,664 unit Rumah Selangorku menjelang tahun 2023.

“Sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 112,852 unit atau 10 peratus (262 projek) Rumah Selangorku diluluskan dengan 11,555 unit (25 projek) dibangunkan oleh agensi/anak syarikat Kerajaan Negeri manakala baki iaitu 101,297 unit (216 projek) dibangunkan pemaju swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2020 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Katanya Kerajaan Negeri juga membeli 100 unit Rumah Selangorku berharga RM200,000 dengan implikasi kewangan sebanyak RM20 juta bagi merancakkan pelaksanaan Skim Smart Sewa.

Amirudin berkata, langkah itu adalah inisiatif berterusan Kerajaan Negeri bagi menangani kemelut pembeli rumah yang berdepan masalah pembiayaan akhir di mana kadar permohonan pinjaman perumahan ditolak bank tempatan semakin meningkat.

Sementara itu, Skim CERIA dengan peruntukan RM10 juta juga diteruskan pada tahun depan bagi menampung kos pembaikan kemudahan asas seperti tangki air, lif serta bumbung yang sememangnya membabitkan kos tinggi.

Amirudin berkata, skim itu dijalankan dengan konsep perkongsian kos antara Kerajaan Negeri dan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Kerajaan Negeri berbesar hati meneruskan bantuan kerajaan ini sebagai tanda penghargaan kepada JMB atau Perbadanan Pengurusan yang cemerlang ke arah membentuk sebuah pengurusan komuniti yang berdikari serta berdaya saing,” katanya.


Pengarang :