AGENDANASIONAL

LKIM kaji skim bantu nelayan uzur

PASIR PUTEH, 24 NOV: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang mengkaji kemungkinan mewujudkan skim pencen atau bantuan bagi membantu meringankan beban kira-kira 60,000 nelayan yang terpaksa berhenti turun ke laut disebabkan faktor usia atau sakit.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata kajian itu membabitkan beberapa faktor terutama dari aspek undang-undang dan kekangan kewangan negara.

“Ketika turun padang, saya melihat sendiri bagaimana mereka menderita kesempitan hidup terutama yang masih menanggung keluarga,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Ramah Mesra dengan penduduk Skim Penempatan Semula Nelayan Tok Bali di sini, hari ini.

Lebih 100 nelayan kawasan itu menyertai majlis berkenaan yang turut dihadiri Pengarah LKIM Kelantan, Zarina Abd Latiff.

Muhammad Faiz berkata, bantuan itu perlu memandangkan mereka terutama nelayan tradisional tidak berupaya menghadapi risiko meredah ombak dan ribut dalam keadaan uzur dan lanjut usia.

Beliau berkata, golongan nelayan yang hidup seharian mereka ibarat ‘kais pagi makan pagi’ agak ketinggalan berbanding petani dan pekebun kecil yang mempunyai pelbagai sumber pendapatan lain.

Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Kelantan turut membantu menyelesaikan isu status pemilikan 300 buah rumah nelayan Tok Bali yang memerlukan kelulusan kerajaan negeri.

Muhammad Faiz berkata, ini disebabkan kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh terhadap tapak rumah berkenaan yang telah didiami hampir 280 nelayan dari Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh sejak enam tahun lepas.

Katanya, akibat ketiadaan kelulusan, kadar bayaran balik hutang rumah yang sepatutnya RM150 sebulan kepada kerajaan tidak dapat dilaksanan sebaliknya mereka hanya dikenakan caj penyelenggaraan RM20 sebulan.

“Ini merugikan nelayan kerana mereka terpaksa mengambil masa lebih lama untuk melunaskan hutang tidak sebagaimana yang ditetapkan dalam tempoh 35 tahun,” katanya.

Muhammad Faiz berkata, LKIM terpaksa menanggung kos hampir RM200,000 setahun bagi penyelenggaraan termasuk bekalan elektrik dan air.

-BERNAMA


Pengarang :