EXCOSELANGOR

LRA Labohan Dagang bekal air terawat ke tujuh lokasi

SHAH ALAM, 12 NOV: Tujuh lokasi bakal menerima bekalan air terawat melalui pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang Fasa Pertama.

EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata ia membabitkan Banting, Jugra, Sungai Buaya, Kelanang, Kanchong Darat, Kampung Sungai Lang dan Kampung Sungai Kelambu.

“Pengagihan itu membabitkan 56 juta liter air sehari daripada jumlah kapasiti pengeluaran air terawat sebanyak 200 juta liter sehari daripada LRA berkenaan.

“Ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat apabila pihak Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) menyerahkan LRA Labohan Dagang kepada Pengurusan Air Selangor.

“Sementara baki 144 juta liter sehari akan diagih selepas UPEN menyiapkan jajaran paip baru dari Kolam Jugra Baru ke paip utama sedia ada di Pekan Banting dan Sijangkang (Jalan Klang Banting),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Lau Weng San (PAKATAN-Banting) berhubung status LRA Labohan Dagang ketika sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata LRA Labohan Dagang yang mula dibina pada Julai 2017 menelan kos sebanyak RM425 juta.

Katanya idea pembangunan loji itu dicetus selaras kerangka pemodenan industri air di Selangor sebagai langkah strategik menangani isu serta persoalan bekalan air yang semakin mencabar.


Pengarang :