Pemandu teksi, V Balamurugan, 37, yang dituduh memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dibawa keluar selepas Mahkamah Sesyen pada 28 November 2019 menetapkan kesnya disebut semula pada 12 Disember depan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

LTTE: Mahkamah Sesyen tetapkan 12 Disember sebutan semula kes

KUALA KANGSAR, 28 NOV: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 12 Disember hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes juruteknik, S Arivainthan dan pemandu teksi, V Balamurugan yang dituduh memberi sokongan kepada kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sejak lima tahun lepas.

Hakim Rohaida Ishak menetapkan tarikh itu bagi menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pakar keganasan setelah mengambil kira permohonan peguam Matthews Jude, yang mewakili kedua-dua tertuduh, untuk mempercepatkan proses pendakwaan.

Pada 29 Oktober lepas, kedua-dua tertuduh iaitu Arivainthan, 27, dan Balamurugan, 37, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, sejak 2014.

Pada sebutan semula hari ini, Timbalan Pendakwaraya Hasyutanti Khalil memohon mahkamah memberikan masa untuk siasatan dilengkapkan dalam tempoh sebulan setengah memandangkan laporan SKMM dan pakar forensik masih belum diperoleh.

Bagaimanapun, perkara itu dibantah Matthews dan memohon kes itu disebut semula pada minggu hadapan.

Ia berikutan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menetapkan esok untuk memutuskan sama ada membenarkan atau sebaliknya ikat jamin ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, Melaka yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.

Terdahulu, Matthews memohon mahkamah untuk memanggil dua pegawai penyiasat kes untuk mendapatkan penjelasan mengenai laporan SKMM dan forensik yang masih belum diperoleh berkenaan.

Kedua-dua pegawai penyiasat itu memberitahu mahkamah bahawa pihaknya sudah menghantar butiran untuk meminta laporan daripada SKMM dan pakar keganasan pada 30 Oktober lepas namun mereka dimaklumkan pihak SKMM memerlukan tempoh enam hingga 12 bulan bagi melengkapkan laporan.

Matthews memberitahu mahkamah bahawa tempoh enam hingga 12 bulan terlalu lama untuk anak guamnya yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Mengikut pertuduhan, Arivainthan dan Balamurugan didakwa memberi sokongan kepada LTTE pada satu majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput (Utara) antara 6.30 petang sehingga 11.45 malam, 28 Disember 2014.

Selain itu, Balamurugan turut didakwa memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE dalam seunit telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A7 di Perkarangan Stesen Teksi Sungai Siput (U) kira-kira pukul 9.40 pagi pada 10 Oktober lepas.

Pemandu teksi itu juga didakwa memiliki dan mempamerkan item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan LTTE di sebuah premis di No.52 Taman Bukit Medan, Sungai Siput (U) pada pukul 9.50 pagi pada 10 Oktober lepas.

– BERNAMA


Pengarang :