Datuk Emeritus Prof Dr Muhamad Awang (berdiri lapan, kanan) dan Saipolyazan M Yusop (berdiri enam, kiri) bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang, hari ini. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

LZS teruskan Rancangan Agihan Wang Saku tahun depan

SHAH ALAM, 28 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan meneruskan inisiatif Rancangan Agihan Wang Saku (RAWS) tahun depan berikutan impaknya terhadap lebih 14,000 pelajar daripada 231 sekolah terlibat amat memberangsangkan.

Inisiatif di bawah Program Sekolah Angkat Zakat Selangor (Prosaz) yang dimulakan pada tahun lalu itu merupakan bantuan wang saku atau penyediaan makanan kepada pelajar asnaf fakir dan miskin dengan kadar RM3 sehari setiap orang bagi meringankan beban kewangan keluarga mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop berkata hasil maklum balas daripada pentadbiran sekolah terlibat mendapati, jumlah ketidakhadiran pelajar daripada golongan asnaf yang menerima bantuan program itu saban hari semakin menurun.

“Usaha kami untuk meneruskan program ini bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan keciciran pelajar. Apabila anak-anak asnaf tidak mendapat makanan berzat dengan cukup, mereka tidak boleh menumpukan perhatian kepada pelajaran dan berpotensi untuk ponteng sekolah.

“Jadi, kami teruskan program RAWS tahun depan dan amat berharap golongan anak-anak asnaf ini dapat terus disantuni dengan makanan berzat demi kelangsungan pendidikan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang di sini, hari ini.

Katanya bantuan RAWS bukan sahaja meliputi pelajar di sekolah luar bandar namun turut melibatkan kawasan bandar memandangkan 61 peratus golongan asnaf di Selangor menetap di bandar.

Katanya hampir RM1.8 juta diperuntukkan tahun ini untuk mengagihkan bantuan RAWS kepada pelajar asnaf daripada 124 sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan 107 sekolah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor.

Mengambil contoh keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), beliau berkata jumlah pelajar asnaf yang memperoleh keputusan cemerlang 6A tahun ini meningkat kepada 34 orang berbanding 22 orang pada tahun sebelumnya.

“Apa yang kami lihat, kejayaan ini adalah kesan daripada penglibatan LZS dengan sekolah. Kami harapkan kejayaan ini akan meningkat dan berterusan pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, sebanyak 67 asnaf LZS diraikan dengan pelbagai anugerah kecemerlangan bagi memberikan motivasi berterusan kepada mereka untuk terus mengekalkan pencapaian masing-masing.

Daripada jumlah tersebut, 52 penerima adalah dalam kalangan anak asnaf yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang kerana memperoleh keputusan membanggakan dalam peperiksaan utama.

Pada majlis sama juga, LZS turut menyampaikan sumbangan iPad kepada 60 pelajar asnaf yang melanjutkan pelajar di Maktab Rendah Sains Mara dan sekolah berasrama penuh sebagai pemudah cara dalam pembelajaran mereka di institusi berkenaan.

Kesemua anugerah dan sumbangan itu disampaikan kepada penerima oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Prof Emeritus Datuk Dr Muhamad Awang.

-BERNAMA


Pengarang :