Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari merasmikan Program Bakti Siswa Perdana Peringkat Negeri Selangor 2019 di Padang Awam Wira Damai, Gombak pada 16 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mahasiswa kena buka mata lihat cabaran masa depan

GOMBAK, 16 NOV: Pelajar institusi pengajian tinggi dinasihatkan tidak terlalu leka dengan kehidupan kampus sehingga mereka lupa membuka mata melihat dan mengambil tahu isu-isu masyarakat sekeliling.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ini berikutan mereka adalah pelapis negara yang perlu mempersiapkan diri menjadi pemimpin masyarakat pada suatu hari nanti.

“Saya percaya mahasiswa dan mahasiswi yang mempunyai pelbagai perbezaan dan cabaran perlu mendekati masyarakat secara nyata dan bukan hanya mendengar kuliah serta hidup dalam suasana kampus yang sangat seronok.

“Saya pernah bergelar mahasiswa dan memang hidup ketika itu begitu indah tetapi mahasiswa yang baik bukan hanya duduk dalam pagar universiti dan fikiran hanya berkisar dalam universiti itu sahaja.

“Mahasiswa yang baik adalah mahasiswa yang mampu buka mata, melihat persoalan, cabaran dan rintangan yang bakal dihadapi pada masa hadapan kerana masa hadapan di tangan anda semua yang akan mewarisi tanggungjawab memimpin negara dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bakti Siswa Perdana Peringkat Negeri Selangor 2019 di Padang Awam Wira Damai, di sini, hari ini.

Amirudin Shari melakukan gimik Pelancaran Program Bakti Siswa Institusi Pengajian Tinggi Negeri Selangor di Padang Awam Wira Damai, Gombak pada 16 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Justeru, Amirudin berkata, mahasiswa dan mahasiswi wajib memiliki keberanian untuk menerokai cabaran kehidupan masyarakat di luar kampus, prihatin dan cakna dengan isu di sekeliling mereka.

Pada program itu lebih 800 pelajar daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Kuala Lumpur, Universiti Selangor, Kolej Antarabangsa INPENS, Kolej Azmida dan Kolej Komuniti Selayang menyertai Program Bakti Siswa Perdana Peringkat Negeri Selangor 2019.

Antara aktiviti yang diadakan ialah gotong-royong di Kampung Wira Damai, Kampung Sungai Kertas, Kampung Laksamana dan Kampung Sungai Tua.


Pengarang :