AGENDASUKANKINI

Malam ini tentukan nasib Malaysia-Thailand

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Malaysia akan berjuang bermati-matian menentang Thailand dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam ini, dengan harapan melakar kemenangan buat pasukan negara.

Selepas hanya meraih tiga mata daripada tiga perlawanan serta kritikan terhadap pemilihan pemain, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mahu membawa Malaysia kembali ke landasan dengan mempersiapkan pasukannya jauh lebih awal menjelang pertembungan itu.

Thailand tidak asing kepada Cheng Hoe dan jurulatih berusia 51 tahun itu mengakui kemenangan ke atas skuad ‘Gajah Perang’ di Stadium Nasional Bukit Jalil akan mencerahkan peluang mereka untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

“Ia (menentang Thailand) perlawanan cukup penting dan Thailand membawa barisan terkuat. Saya kena beri tumpuan yang agak berlainan kali ini memandangkan Thailand kini sebuah pasukan berbeza dibandingkan dengan tahun lepas.

“Ini satu lagi peluang untuk kami menentang pasukan yang lebih baik, pendekatan yang lebih baik di bawah kendalian jurulatih Piala Dunia, kami juga mesti mempamerkan pendekatan yang positif,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, semalam.

Malaysia kini menduduki tempat keempat dengan mengumpul tiga mata dalam Kumpulan G dan empat mata di belakang pendahulu Thailand yang berkongsi tujuh mata dengan Vietnam.

Malaysia memulakan kempen dengan melakar kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di Jakarta pada September lepas, sebelum tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Bukit Jalil dan tumpas 0-1 di tangan Vietnam, di Hanoi bulan lepas.

Sejak itu, Cheng Hoe menekankan bahawa beliau sentiasa berusaha meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan.

“Akhir-akhir ini ada banyak kata-kata negatif tentang penjaga gol kami dan penyerang pasukan. Sebagai jurulatih, saya selalu ingin memperbaiki pasukan, bukan hanya fokus pada satu posisi tertentu tetapi keseluruhan pasukan,” tambahnya.

Malaysia mengalahkan Thailand 2-2 secara agregat untuk melangkah ke pusingan akhir Kejuaraan AFF 2018 dan kali terakhir Malaysia merekodkan kemenangan ke atas pasukan yang menduduki tangga ke-109 dunia itu adalah dalam pusingan akhir Kejuaraan AFF 2014. Malaysia menang 3-2 di Bukit Jalil.

– BERNAMA


Pengarang :