AGENDANASIONAL

Malaysia akan dibangunkan semula jadi `Harimau Baharu’

PONTIAN, 2 NOV: Malaysia akan terus dibangunkan semula sehingga menjadi `Harimau Baharu’ sekiranya rakyat kekal memberi sokongan dan peluang kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir negara ini, kata Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, di bawah pimpinan kerajaan kini, Malaysia mampu menjadi negara yang maju daripada pelbagai aspek seiring dengan negara maju di rantau Asia pada masa hadapan.

“Kalau diberi sokongan lagi. (Parlimen) Tanjung Piai ini kita kekal menang dan PH terus berkuasa, Insya-Allah kita akan dapat membangunkan semula negara kita, bukan itu sahaja malah meletakkan Malaysia di hadapan dan antara negara maju di rantau Asia.

“Kita boleh jadi ‘harimau baharu’ yang boleh mengaum kuat supaya orang takut dengan kekuatan pembangunan negara kita,” katanya ketika berucap pada program Santai Petang sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.di Kampung Melayu Raya, Pekan Nenas, dekat sini, hari ini,

Bagaimanapun, untuk merealisasikan visi itu, ia akan mengambil masa yang sukar diramal memandangkan PH ‘mewarisi’ negara ini dalam situasi dan pelbagai masalah negara sejak pemerintahan kerajaan dahulu.

“Ini kita boleh buat. Baru setahun lima bulan kita mentadbir, mana boleh selesai semua masalah yang kita warisi, kalau ada orang bijak pandai pun tak boleh buat dalam setahun lebih,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan juga terus komited mentadbir negara ini dengan baik serta sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi negara ketika ini.

“Saya bertanggungjawab kerana saya duduk dalam kerajaan, tiap-tiap minggu duduk dalam Kabinet berbincang cari jalan bagaimana nak selesaikan masalah negara, masalah kewangan, masalah hutang negara, perbaiki mana-mana kerosakan, skandal Tabung Haji, skandal FELDA… jadi itu masalah pokok kita tetapi walaupun begitu kerajaan kita hari ini masih terurus,” tambahnya.

Muhyiddin turut berkata, PRK Parlimen Tanjung Piai adalah satu ruang dan peluang kepada pengundi untuk memutuskan sama ada terus kekal menyokong PH atau sebaliknya.

PRK itu juga adalah satu cabaran amat hebat bagi pihaknya kerana beliau menjangka akan berhadapan tentangan besar daripada pihak pembangkang yang bertanding.

“… dan pelbagai perkara akan diketengahkan sebagai bahan kempen untuk meyakinkan atau melunturkan keyakinan pengundi terhadap kerajaan hari ini. Jadi, sebagai pejuang terutamanya jentera pilihan raya harus mengambil suatu tindakan agak berkesan untuk menggerakkan jentera kita di semua peringkat, Insya-Allah kita akan peroleh kejayaan,” katanya.

PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan calon PH Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Barisan Nasional), Wendy Subramaniam,(Gerakan), Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan dua calon bebas iaitu pengasas pusat tuisyen Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Hari mengundi bagi PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini, manakala hari pengundian awal diadakan pada 12 November.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya iaitu Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

– BERNAMA


Pengarang :