AGENDANASIONAL

Malaysia catat suhu hingga 33.4 darjah celcius pada 2018

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Malaysia mengalami purata suhu antara 15.9 darjah celsius dan 33.4 darjah celcius bagi tahun 2018, menurut Kompendium (ringkasan) Perangkaan Alam Sekitar (KPAS) Malaysia 2019.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata, pada tahun sama taburan hujan di Malaysia adalah antara 1,801.6 milimeter (mm) dan 4,581.8mm.

Bagi purata kelembapan relatif pula, Malaysia mencatatkan antara 72.7 peratus sehingga 89.3 peratus.

Infografik Twitter Jabatan Perangkaan Malaysia

Mohd Uzir dalam kenyataan itu juga memaklumkan permintaan sumber air bersih turut meningkat pada tahun 2018 berbanding 2014, seiring dengan pertambahan penduduk.

“Bagi memenuhi keperluan itu, bekalan air mentah yang diambil terus daripada sungai dan empangan menunjukkan peningkatan masing-masing sebanyak 5.7 peratus (801 juta liter sehari) dan 28 peratus (732 juta liter sehari),” menurut kenyataan itu.

Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan bahawa pengeluaran akuakultur adalah 0.4 juta tan metrik pada 2018 bagi memenuhi permintaan pengguna kepada sumber perikanan.

-BERNAMA


Pengarang :