Letusan api kelihatan berikutan serangan udara Israel di Khan Yunis di Gaza Selatan pada 15 November 2019 dan serangan terbaharu Israel terhadap sasaran Jihad Islam melemahkan gencatan senjata yang berlaku selepas pertempuran minggu ini membunuh 34 rakyat Palestin. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Malaysia kutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza yang mengakibatkan kematian orang awam Palestin, termasuk kanak-kanak, kata Wisma Putra.

Menurut kenyataan kementerian itu, serangan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) adalah berlebihan dan tidak seimbang, selain daripada tidak mengendahkan langsung semua undang-undang antarabangsa.

“Malaysia teguh dengan pendiriannya membantah sekeras-sekerasnya kepongan berterusan ke atas Gaza yang merupakan hukuman kolektif dan mengakibatkan penderitaan dan kesusahan yang memeritkan kepada penduduk Gaza dan organisasi bantuan kemanusiaan di Semenanjung dan kawasan-kawasan lain di Wilayah Palestin yang diduduki Israel.

Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan serius bagi mengakhiri pendudukan haram Israel dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka,” katanya.

Ia juga menggesa kesemua pihak menahan diri dan menghormati perjanjian gencatan senjata untuk mengelakkan lebih ramai lagi orang awam terkorban.

– BERNAMA


Pengarang :