AGENDA NASIONAL

Malaysia lawan Indonesia: Stesen LRT Bukit Jalil dilanjut hingga 1 pagi

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali sistem rel transit akan melanjutkan waktu perkhidmatan di stesen Light Rail Transit (LRT) Bukit Jalil sehingga pukul 1.00 pagi sempena perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Indonesia, di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa perkhidmatan tiga laluan bas Rapid Kuala Lumpur (Rapid KL) turut dilanjutkan membabitkan laluan dari stesen LRT Awan Besar ke Batu 3 Jalan Klang Lama, TPM via stesen LRT Bukit Jalil serta (T582) LRT Salak Selatan via Bukit Jalil.

Menurut kenyataan media itu lagi, stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, namun penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.

“Rapid KL menyarankan warga kota menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk mengelakkan kesesakan jalan raya serta membeli token perjalanan lebih awal untuk memudahkan kelancaran perjalanan.

Bagaimanapun, bagi pemandu jalan raya yang ingin ke perlawanan itu boleh meletakkan kenderaan di stesen LRT berdekatan dengan stadium yang menyediakan parkir antaranya stesen LRT Muhibbah, stesen LRT Awan Besar dan stesen LRT Sri Petaling,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mengikuti laman sosial Twitter dan Facebook MyRapidKL untuk maklumat lanjut.

– BERNAMA


Pengarang :