Gambar hiasan. Grafik Selangorkini
AGENDANASIONAL

Malaysia lulus RM149 bilion pelaburan hingga September

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Malaysia menjadi lebih selektif dalam agenda pelaburannya dan menarik pelaburan berkualiti dalam ekosistem sasaran yang dijangka memberi kesan signifikan kepada ekonomi domestik, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata Malaysia mencatatkan nilai pelaburan yang diluluskan sebanyak RM149 bilion dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama bagi sembilan bulan pertama tahun ini.

“Ini adalah 4.4 peratus lebih tinggi berbanding RM142.6 bilion yang diluluskan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Pelaburan ini membabitkan 4,025 projek dan akan mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 93,841,” kata Darell.

Kebanyakan pelaburan itu adalah daripada sumber domestik yang menyumbang RM82.7 bilion atau 55.5 peratus daripada jumlah pelaburan.

Pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang 44.5 peratus atau RM66.3 bilion.

“Jumlah FDI yang diluluskan bagi tiga sektor utama ini meningkat 6.5 peratus kepada RM66.3 bilion pada Januari hingga September 2019 daripada RM62.2 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.

Daripada segi sektor, sektor perkhidmatan menarik RM85 bilion melibatkan 3,299 projek yang diluluskan berbanding RM74.9 bilion merangkumi 2,931 projek yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Projek ini dijangka menjana lebih 38,800 peluang pekerjaan.

Daripada jumlah itu, 72 peratus atau RM61.2 bilion adalah daripada sumber domestik, manakala baki 28 peratus atau RM23.8 bilion lagi adalah pelaburan asing.

Sektor pembuatan meluluskan 671 projek bernilai RM57.7 bilion bagi sembilan bulan pertama 2019 berbanding 467 projek dengan pelaburan sebanyak RM57.5 bilion pada Januari-September 2018.

Pelaburan domestik berjumlah RM18.5 bilion atau 32.1 peratus, peningkatan 81.7 peratus daripada RM10.2 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, sektor utama menyumbang RM6.3 bilion atau 4.2 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada Januari hingga September 2019.

Sub sektor perlombongan terus mendahului dengan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM5.9 bilion, diikuti perladangan dan komoditi sebanyak RM275.2 juta dan pertanian RM135.1 juta.

Pelaburan asing mendominasi pelaburan yang diluluskan bagi sektor itu yang berjumlah RM3.3 bilion manakala sumber domestik menyumbang RM3 bilion.

“Di sebalik pertikaian perdagangan berterusan yang menyaksikan pertumbuhan yang perlahan, kita akan mengekalkan haluan dan terus menarik rakan strategik untuk melabur di Malaysia.

“Ini akan menjana limpahan positif kepada ekonomi menerusi ekosistem pertumbuhan rantaian bekalan tempatan dan meningkatkan tenaga kerja rakyat Malaysia,” kata Darell.

Sehingga September 2019, beliau berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang berunding secara aktif melibatkan 682 projek dengan cadangan pelaburan sebanyak RM37.6 bilion.

Ini termasuk 242 projek dalam sektor pembuatan (RM26.6 bilion) dan 440 projek dalam sektor perkhidmatan (RM11.0 bilion).

-BERNAMA


Pengarang :