Tun Dr Mahathir Mohamad melihat jet FA-50 Light Combat ketika membuat lawatan ke Korea Aerospace Industry (KAI) sempena lawatan kerja ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan 2019 hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Malaysia minat dalami aeroangkasa Korea Selatan

SACHEON, 25 NOV: Malaysia berminat mendalami kemajuan dan pembangunan industri aeroangkasa Korea Selatan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap semasa lawatan beliau ke fasiliti pertahanan dan aeroangkasa Korea Aerospace Industries (KAI) di sini, perdana menteri berkata Korea Selatan telah mencatatkan kemajuan besar dalam bidang tersebut sejak kali terakhir beliau datang ke negara ini.

Lawatan terakhir Dr Mahathir ke Korea Selatan sebagai perdana menteri adalah pada 2002.

“Saya sentiasa berminat dengan pesawat pejuang dan pesawat buatan tempatan. Saya ingin melihat bagaimana ia beraksi dan kemajuan industri pesawat anda,” katanya kepada Ketua Pegawai Eksekutif KAI Ahn Hyun-ho, yang menyambut ketibaan beliau ke fasiliti itu, di sini.

Dr Mahathir, yang juga merupakan seorang juruterbang berkelayakan dan penggemar bidang aeroangkasa tiba di fasiliti pertahanan dan aeroangkasa itu dengan menaiki helikopter sekitar pukul 10.30 pagi waktu tempatan.

Sacheon terletak kira-kira 100 kilometer dari Busan, bandar raya yang menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan 2019, yang Dr Mahathir dijadualkan hadir.

Dr Mahathir meluangkan masa lebih dua jam di fasiliti itu dengan pertemuan kira-kira setengah jam bersama para pegawai tertinggi dan kemudiannya melawat fasiliti tersebut di mana beliau diberikan taklimat mengenai pesawat tempur ringan (LCA) KAI FA-50 Fighting Eagle.

Turut mengiringi beliau semasa lawatan tersebut ialah Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking; Duta Malaysia ke Korea Datuk Mohd Ashri Muda; dan Atase Pertahanan Malaysia di Seoul, Kolonel Mohd Sobirin Mohd Yusof.

Malaysia ketika ini sedang menimbang pilihannya bagi LCA dan dijangka secara rasmi melancarkan usaha pemerolehan untuk bergerak seiring dengan kemajuan dan teknologi canggih.

Menurut terbitan pertahanan, Jane’s Defence Weekly, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merancang untuk mendapatkan 36 LCA dengan pilihan bagi 26 lagi bagi melengkapkan kumpulan pesawat pejuang Hawks, Sukhoi SU-30MKM dan FA-18D Hornets yang ada sekarang.

Kelulusan kerajaan dijangkakan pada suku pertama 2020.

Antara jenis LCA lain yang dipertimbangkan oleh TUDM selain KAI FA-50 Fighting Eagle, adalah Hindustan Aeronautics Limited (HAL) Tejas; Leonardo M-346; Aero Vodochody L-39NG; CAC L-15A/B; CAC/PAC JF-17; Saab Gripen; dan Yakovlev Yak-130.

-BERNAMA


Pengarang :