AGENDAGLOBAL

Malaysia sumbang AS$20,000 bantu pemulihan banjir benua Afrika

PUTRAJAYA, 6 NOV: Malaysia akan menyumbang US$20,000 kepada Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan khusus buat menjayakan usaha-usaha pemulihan banjir yang melanda negara-negara Afrika.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memantau keadaan banjir yang melanda beberapa negara Afrika ketika ini termasuk Algeris, Mesir, Ethiopia, Ghana, Kenya, Maghribi, Nigeria, Senegal, Somalia, Sudan, Selatan Sudan serta Tanzania.

Banjir yang berpunca daripada hujan lebat pada Oktober mengorbankan banyak nyawa di samping mengakibatkan ramai kehilangan tempat tinggal di negara-negara ini.

“Malaysia menyampaikan ucapan simpati dan takziah kepada kerajaan dan orang ramai di negara-negara yang terjejas itu, dan berdiri teguh dalam perpaduan di samping mereka dalam mengharungi saat-saat yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wisma Putra berkata, Malaysia bersama lain-lain negara menyeru agar anggota komuniti antarabangsa untuk turut sama menghulurkan bantuan kemanisiaan kepada mangsa kejadian bencana alam ini.

– BERNAMA


Pengarang :