PENDAPATRENCANA

#MalaysiaKerja program bantu graduan menganggur dapat kerja

Oleh Ali Imran Mohd Noordin

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Program #MalaysiaKerja dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan yang tidak dapat mencari pekerjaan lebih setahun, sekiranya dilaksanakan dengan baik.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsudin Bardan memberitahu, ini kerana dalam masa yang sama, program berkenaan boleh meminggirkan graduan baharu kerana perlu bersaing dengan graduan lama.

Menurut beliau, majikan yang mahu mendapatkan insentif gaji yang ditawarkan oleh pihak kerajaan mungkin akan lebih mengutamakan graduan yang sudah lama menganggur.

Di bawah program yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, graduan yang menganggur lebih 12 bulan layak menerima insentif gaji RM 500 sebulan selama dua tahun manakala majikan mendapat insentif RM300 sebulan bagi tempoh sama.

Shamsudin turut mencadangkan agar insentif serupa dapat ditawarkan juga kepada majikan yang mengambil pekerja daripada kalangan graduan baharu agar dapat bersaing dalam pasaran kerja.

Inisiatif gaji

Menyentuh tentang inisiatif gaji yang ditawarkan, Shamsudin berpendapat adalah lebih baik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat menyalurkan gaji lebihan caruman berkanun terus ke dalam akaun pekerja berbanding pendekatan menggunakan Akaun 3 yang bakal diperkenalkan kelak.

“Adakah pekerja perlu ke KWSP setiap bulan untuk mengeluarkan pendapatan boleh guna mereka? Jika lebihan caruman dapat disalurkan terus, mereka tidak perlu berurusan dengan banyak pihak untuk mengeluarkan wang,” kata beliau.

Beliau turut berharap KWSP dapat menyatakan dengan jelas sekiranya lebihan caruman pada peringkat majikan turut akan disalurkan kepada pihak majikan.

Pendapat Shamsudin ini dipersetujui Pensyarah Sosiologi Politik di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Professor Dr Sivamurugan Pandian yang berpendapat, perkara paling mustahak untuk ditangani adalah memastikan peluang pekerjaan terus dibuka kepada tenaga kerja.

Menurut beliau, inisiatif ini boleh memberi impak dalam jangka masa pendek kerana mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi motivasi agar graduan tidak terlalu memilih pekerjaan.

Bagaimanapun, kata beliau, dalam jangka masa panjang pihak berwajib perlu memikiran cara meningkatkan keberadaan peluang pekerjaan dan jenis pekerjaan yang ditawarkan dalam pasaran kerja.

Penggunaan teknologi

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Halim Mansor berpendapat, pihak kerajaan perlu menitikberatkan aspek penggunaan teknologi dalam sektor pekerjaan sedia ada selaras dengan gelombang Revolusi Industri 4.0.

“Kita perlu menjenamakan semula jawatan kerja yang ada hari ini agar dalam skop kerja jawatan yang baharu dapat meningkatkan taraf pekerjaan kepada profesyen kerja baharu yang menaik taraf elemen keselamatan kerja, keselamatan sosial dan meningkatkan produktiviti dengan penggunaan teknologi,” kata beliau.

Perdana Menteri menyifatkan #MalaysiaKerja sebagai “Malaysian answer to resolving employment challenges in the marketplace,” ketika berucap di majlis Persidangan Antarabangsa Kesejahteraan Sosial (ISWC) 2019 serta pelancaran program tersebut di sini, semalam.

Program #MalaysiaKerja mengandungi empat program dengan tawaran insentif gaji kepada golongan pekerja dan majikan dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan seperti wanita dan graduan yang menganggur lebih 12 bulan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada Oktober lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, inisiatif selama lima tahun ini akan melibatkan peruntukan RM 6.5 bilion. Ia dijangka dapat mewujudkan 350,000 peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada 130,000 pekerja asing.

Menurut Lim, program ini akan dilaksanakan secara berperingkat mulai suku kedua 2020 di bawah seliaan pihak KWSP.

Insentif gaji dan insentif pengambilan pekerja di bawah #MalaysiaKerja akan dikreditkan terus ke dalam akaun KWSP individu bagi mengimbangi caruman berkanun oleh majikan dan pekerja

– BERNAMA


Pengarang :