AGENDANASIONAL

MAQIS Selangor rampas lapan tan metrik produk babi import

SHAH ALAM, 18 NOV: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor merampas 7,952.51 kilogram produk babi import dianggarkan bernilai RM412,560 dalam satu pemeriksaan di pintu masuk Pelabuhan Klang Barat, dekat sini pada 6 November lepas.

Pengarahnya, Dr Tarmisal Alimin berkata, rampasan yang dilakukan sekitar pukul 11.30 pagi oleh sepasukan pegawai penguatkuasa MAQIS adalah berikutan produk itu dikesan diimport daripada pusat penyembelihan di Amerika Syarikat yang tidak diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.

“Kapal yang membawa kontena itu memang datang dari Amerika Syarikat dan syarikat pengimport produk itu ada mengisytiharkan mengenai barangan dagangan tersebut. Namun, pemeriksaan lanjut mendapati, barangan tersebut dikeluarkan oleh loji tidak diiktiraf oleh negara ini.

Siasatan ke atas wakil syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu mendapati, mereka mengatakan tidak mengetahui yang loji penyembelihan tersebut tidak diiktiraf oleh jabatan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Tarmisal, pengimportan produk babi daripada pusat penyembelihan tidak diiktiraf merupakan kesalahan yang boleh didakwa di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Justeru, beliau memberi amaran kepada syarikat pengimport barangan seumpamanya supaya sentiasa memastikan hanya produk dihasilkan oleh pusat penyembelihan diiktiraf dibawa masuk ke negara itu bagi menjamin biokeselamatan makanan dan industri tempatan.

– BERNAMA


Pengarang :