Pengarah Urusan Lynas, Datuk Mashal Ahmad (kedua, kiri) bertukar dokumen dengan Pengerusi Perbadanan MARA Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi (kedua, kanan) ketika menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lynas Malaysia dan Perbadanan MARA pada 4 November 2019. – Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

MARA pertahan MoU dengan Lynas

KUALA LUMPUR, 6 NOV: MARA Corporation mempertahankan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatanganinya dengan Lynas Malaysia Sdn Bhd bagi usaha sama membabitkan beberapa projek, termasuk menarik pelanggan industri hiliran dan huluan ke Malaysia.

Pengerusi MARA Corporation, Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, berbanding dengan laporan berita bahawa MoU itu ditandatangani tanpa persetujuan MARA sendiri, sesi libat urus telah diadakan dengan semua pihak berkepentingan relevan berhubung perkara dan ia telah ditandatangani dengan mematuhi semua syarat bagi tadbir urus baik.

Sebagai penjelasan berhubung isu itu, beliau berkata MoU itu dibawa kepada perhatian Lembaga MARA Corporation pada 23 September dan diluluskan dengan kehadiran wakil Lembaga daripada Majlis MARA.

“Kelulusan itu bukan bersyarat selain daripada ia dipersetujui agar ia dirahsiakan dan dipercepatkan, dengan memahami akan sensitiviti Mou itu kerana syarikat induk Lynas Malaysia disenaraikan di Bursa Saham Australia.”

Akramsyah berkata Pengerusi MARA Dr Hasnita Hashim, juga kemudiannya diberi taklimat berhubung perkara itu dalam perbincangan secara privasi dengannya pada 2 Oktober manakala pejabat Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah diberikan perkembangan terkini sehingga MoU itu ditandatangani pada Isnin.

Beliau berkata keperluan mendesak bagi entiti seperti MARA Corporation untuk memangkin aktiviti hiliran industri nadir bumi Malaysia, keupayaan penyelidikan dan teknologi dengan memanfaatkan kehadiran Lynas Malaysia.

“Kami mahu memanfaatkan peluang ini untuk negara, bermula dengan MoU ini dan penyertaan kami dalam Persidangan Nadir Bumi ke-16 yang akan diadakan pada lewat minggu ini di Kuala Lumpur,” katanya.

Akramsyah menegaskan MARA Corporation menyifatkan MoU itu sebagai sah dan akan terus mendukungnya dengan mengambil kira ia adalah strategik kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

“Ia juga memenuhi mandat MARA dalam memberi tumpuan pada bidang pertumbuhan berpotensi untuk kaum Melayu dan Bumiputera, selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, dizahirkan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kerajaan, khususnya menerusi pewujudan kerja baharu bernilai tinggi kepada ekonomi daripada usaha sama ini,” katanya.

Lynas Malaysia ialah pengeluar bahan nadir bumi terbesar di luar China.

Nadir bumi adalah input penting kepada teknologi tinggi dengan kegunaan utama sebagai magnet kekal, penukar berpemangkin, pemangkin, bateri, elektronik dan bahan kimia rawatan air.

Pengguna akhir bumi nadir termasuk pembakaran dalaman, kenderaan hibrid dan elektrik, sistem automasi dan pertahanan, turbin angin dan minyak dan gas.

– BERNAMA


Pengarang :