AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Masjid mangsa pergeseran politik – JAIS

SHAH ALAM, 23 NOV: Gara-gara pergeseran politik yang tidak berkesudahan menyebabkan institusi masjid menjadi mangsa, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad.

Katanya, realitinya segelintir institusi masjid kini turut membuahkan perpecahan, kepuakan, adu domba dan menyemarakkan kebencian antara Islam.

“Akhirnya masjid gagal memberi naungan dan jaminan suaka ketakwaan dan keimanan kepada masyarakat.

“Seorang demi seorang keluar dari saf atas sebab keletihan melihat pergeseran sesama sendiri, politik yang tiada kesudahannya, sehingga akhirnya masjid dibarisi oleh orang yang sama sahaja.

“Tidak sepatutnya ini berlaku kerana masjid adalah wadah pembangunan keperibadian umat Islam yang dihormati serta diteladani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Multaqa Pengupayaan Kepimpinan Masjid Selangor 2019 bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid JAIS, Hazman Che Mohamad, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Dakwah JAIS, Sabariah Salleh serta kira-kira 500 ahli jawankuasa masjid seluruh negeri.

Mengulas lanjut dalam ucapannya, Mohd Shahzihan berkata, kehormatan umat dan agama Islam kian merudum hanya kerana perbezaan pandangan dunia yang berlainan.

“Sedangkan pandangan itu sudah pastinya berbeza-beza, namun sengaja diperbesarkan di khalayak dan bertambah malang apabila perbezaan sudut politik ini disuntik dengan serum ketaasuban sehingga kebatilah atau hak sudah bagai tidak ada tempatnya.

“Akhirnya pertentangan demi pertentangan berlaku secara diam dan nyata, sehingga ‘izzah’ Islam itu hilang. Perkara ini menular di dalam masyarakat, organisasi dan kedudukan,” katanya.


Pengarang :