Gimik pelancaran ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Petronas Smartpay Fleet Card Scheme antara KDEBWM dan PDB di Shah Alam Convention Centre pada 12 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: KDEBWM urus sisa pepejal terbaik, miliki aset terbesar

SHAH ALAM, 12 NOV: Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) muncul syarikat pengurusan sisa pepejal terbaik dan memiliki aset terbesar negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata KDEBWM memiliki 1,000 lori kompaktor dan RORO yang beroperasi setiap hari serta mampu menguruskan kutipan sisa pepejal domestik juga pembersihan awam di 11 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor.

“Jumlah lori kompaktor dan RORO ini akan bertambah apabila KDEBWM mula beroperasi di Majlis Bandaraya Shah Alam pada awal tahun hadapan.

“Dalam tempoh lebih tiga tahun beroperasi, KDEBWM juga membanggakan Kerajaan Negeri apabila dipilih sebagai Smart Waste Solution Company of The Year oleh Frost and Sullivan selama dua tahun berturut-turut, pada 2018 dan 2019.

“Kejayaan ini adalah satu pencapaian yang amat signifikan dan membanggakan apabila syarikat itu kini diiktiraf sebagai salah sebuah syarikat Pengurusan Sisa Pepejal terbaik di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian PETRONAS SmartPay Fleet Card Scheme antara KDEBWM dan PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Amirudin berkata, KDEBWM turut menerima anugerah terbaharu iaitu Syarikat Pengurusan Sisa Pepejal terbaik dari The Brand Laureate, sebuah Yayasan Pengiklanan bertaraf dunia.

Katanya berdasarkan rekod, Selangor merupakan negeri yang menjana penghasilan sampah domestik tertinggi di Malaysia, iaitu kira-kira hampir 7,000 tan metrik sampah sehari.


Pengarang :