AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Kuala Langat kini berstatus perbandaran

SHAH ALAM, 13 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memaklumkan Majlis Daerah Kuala Langat berjaya menukar statusnya kepada majlis perbandaran.

Beliau berkata perkara itu disahkan melalui surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 31 Oktober lalu.

“Oleh demikian, saya berharap Kabinet juga akan memberi kelulusan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya untuk membolehkan mereka menerima status bandar raya.

“Sementara Majlis Daerah Kuala Selangor pula perlu mengemukakan semula cadangan dan beberapa kertas kerja untuk dinaik taraf daripada daerah kepada perbandaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Setakat ini Selangor mempunyai dua majlis bandaraya termasuk Shah Alam dan Petaling Jaya serta enam majlis perbandaran (Subang Jaya, Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang dan Sepang).

Sementara itu majlis daerah ialah Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Kuala Selangor.


Pengarang :