Amirudin Shari pada sidang Dewan Negeri Selangor. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat pacu ekonomi negeri

SHAH ALAM, 12 NOV: Pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Taiping, Perak ke Banting, Selangor dijangka memacu pembangunan ekonomi di kawasan Anjung Utara di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata limpahan kenderaan yang melalui WCE akan memberi kesan khusus kepada Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga meminta exco berkenaan iaitu Ir Izham Ismail, V Ganabatirau dan Rodziah Ismail untuk melihat potensi pembangunan yang sewajarnya dibangunkan di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Mustain Othman (PAKATAN-Sabak) berhubung jumlah peruntukan Kerajaan Negeri kepada daerah Sabak Bernam pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Pembinaan WCE sepanjang 233 kilometer yang mula dibangunkan sejak 2014 menelan belanja RM5.04 bilion serta RM980 juta kos pengambilan tanah.

Projek berkenaan dibahagikan kepada 11 fasa dan dikendalikan syarikat konsesi West Coast Expressway Sdn Bhd dan bakal menjadi laluan alternatif terbaik untuk pengguna jalan raya mengelakkan kesesakan terutama pada musim perayaan.

Pada masa sama, Amirudin berkata tidak wajar jika ada pihak yang melabelkan Kerajaan Negeri tidak membangunkan kawasan itu berikutan pelbagai usaha sudah diambil setakat ini.

Sebagai contoh katanya ada anak syarikat yang pernah membina kilang dan industri di sana tetapi tiada yang berminat untuk membuat pelaburan.

“Tetapi setakat ini kita masih mempunyai ekonomi hiliran dan perkhidmatan di situ, justeru Kerajaan Negeri mencadangkan sembilan gugusan utama bagi memastikan negeri ini terus melangkah ke depan dalam bidang ekonomi, sosial dan alam sekitar.

“Bagi lokasi berkenaan ia memfokuskan Gugusan Eko-Pelancongan bagi kawasan Kuala Selangor, Taman Negeri, Pesisiran Pantai Morib, dan Sungai Pelek.

“Sementara Gugusan Perikanan dan Akuakultur di Kuala Selangor dan Sabak, serta Gugusan Pertanian dan Industri Asas Tani bagi kawasan Tanjung Karang dan Sungai Air Tawar,” katanya.


Pengarang :