Seorang kanak-kanak tidak melepaskan peluang berswafoto bersama Amirudin Shari ketika Majlis Rumah Terbuka Deepavali DUN Sungai Tua 2019 di Dewan Seri Siantan, Batu Caves pada 24 November lalu. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB mahu rakyat tolak politik sempit kaum

BATU CAVES, 25 NOV: Rakyat Selangor digesa supaya menolak budaya politik sempit yang sengaja dimainkan pihak tidak bertanggungjawab, mutakhir ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata tindakan itu sengaja dimainkan pembangkang tidak kira di peringkat negeri mahupun persekutuan bagi menjatuhkan kredibiliti Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Ketika jumpa orang Cina, mereka menakut-nakutkan mereka dengan mengatakan kononnya Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad ini rasis dan anti-Cina.

“Kemudian bila jumpa orang Melayu, mereka berulang kali menyebut masyarakat Melayu terpaksa berdepan cabaran kebangkitan kaum lain di negara ini.

“Inilah kata-kata lidah bercabang yang saya mahu rakyat Selangor tidak mudah termakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua di Dewan Siantan, di sini malam tadi.

Amirudin dalam ucapannya turut menjelaskan Kerajaan PAKATAN di peringkat persekutuan sedang berusaha membetulkan kesilapan besar yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Beliau juga percaya rakyat akan terus memberi sokongan supaya kelemahan di negara ini terus diperbaiki.

“Saya yakin ia akan membuahkan hasil, lihat sahaja Selangor yang ditadbir Kerajaan PAKATAN selama tiga penggal. Kita bertambah baik dan semakin makmur sehingga diiktiraf negeri terbaik di Malaysia,” katanya.


Pengarang :