Reaksi pemain pasukan Malaysia selepas menewaskan Indonesia dengan keputusan 2-0 pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 November 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MB puji serangan mantap Harimau Malaya

SHAH ALAM, 20 NOV: Kejayaan Harimau Malaya yang membenam pasukan Garuda pada saingan Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam tadi menerima pujian Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya permainan Malaysia cukup hebat dengan aturan mantap, berdisiplin serta serangan balas pantas.

“Sepakan percuma Safawi Rashid, memang ‘wow’. Tahniah kepada pasukan Harimau Malaya, wira-wira kita menewaskan Indonesia 2-0,” katanya melalui ciapan di Twitter.

Kemenangan berkenaan sekali gus menyaksikan Malaysia menambah tiga lagi mata menjadikan sembilan kutipan selepas menamatkan lima perlawanan.

Keputusan ini juga mencerahkan peluang Harimau Malaya ke Pusingan Akhir Piala Asia 2023 di China.

Selepas menentang Indonesia, Malaysia dijadual berdepan UAE di Dubai pada 26 Mac 2020.

Pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu akan bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Mac 2020, sebelum menamatkan aksi pusingan kelayakan menentang Thailand pada 9 Jun 2020 di tempat lawan.


Pengarang :