BERITA UTAMASELANGOR

MB: Rasulullah rahmat terbesar untuk umat manusia

SHAH ALAM, 9 NOV: Kelahiran Nabi Muhammad SAW yang menggoncang dunia pada 1,441 tahun lalu adalah rahmat terbesar dalam hidup manusia, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

“Perawakan dan keperibadiaan Baginda yang mulia, lemah lembut disayangi kawan juga disegani lawan. Junjungan mulia ini terus menjadi inspirasi hari ini buat lebih dua bilion penganut Islam serta 7.7 bilion umat manusia seluruhnya.

“Kehadiran Baginda dianggap sebagai sinar yang menyingkap tabir kegelapan, menghapuskan kejahilan dengan keilmuan dan menyebarluaskan rahmat ke seluruh alam dengan adab sopan serta budi pekerti mulia wajar disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan,” tulisnya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan Salam Maulidur Rasul 1441H di akaun media sosialnya, hari ini.

Katanya, ulama hadith tersohor, Dr. Syed Muhammad Al Alawi Al Makki turut menyebut bahawa dianjurkan bagi umatnya untuk turut bergembira dengan rahmat ALLAH itu.

“Marilah bersama-sama menzahirkan sukacita dan berkongsi kegirangan kita di atas kelahiran junjungan besar ini setiap hari, termasuk hari kelahiran Baginda.

“Sesungguhnya ALLAH SWT dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi Muhammad. Wahai orang yang beriman berselawatlah kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

“Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1441H,” katanya.


Pengarang :