Amirudin Shari menyempurnakan perasmian Majlis Pembukaan Pameran Seni Rupa ‘Sisarasa’ Residensi Seni 2/2019 Rumah Seni Selangor, Petaling Jaya pada 8 November 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Seni antara penyumbang kepesatan pembangunan Selangor

PETALING JAYA, 9 NOV: Seni kreatif mempunyai potensi besar dan tidak seharusnya dipinggirkan di Selangor yang kian pesat membangun dengan kemodenan semasa, kerana ia turut menyumbang kepada arah itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penubuhan Rumah Seni Selangor atau lebih sinonim sebagai RUsSEL sejak April tahun lalu membuka lembaran buat penggiat seni baharu mengenengahkan bakat di samping menghubungkan cabang kebudayaan yang ada di sini.

“Rupanya Selangor yang berkembang pesat dan maju ini bukan hanya boleh dibanggakan dengan bangunan agam atau proses perindustrian yang begitu pantas diikuti kehidupan moden serba terkini.

“Tetapi dalam masa yang sama Selangor bertapak seniman, sasterawan dan mereka yang terlibat aktif dalam ruangan sebagai subjek kebudayaan serta kesenian sama ada dalam bidang penulisan, tarian, teater atau filem,” katanya.

Khairul Ehsani Sapari bersama hasil karya berunsurkan estetika Jepun menggunakan media campuran dipamerkan dalam Pameran Seni Rupa ‘Sisarasa’ residensi seni 2/2019 Rumah Seni Selangor, Petaling Jaya pada 8 November 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan RUsSEL Residensi sesi 2/2019 di sini, semalam.

Katanya, Selangor memasang impian untuk bersaing di peringkat Asia Tenggara tetapi karyawan juga memerlukan impian sama supaya hasrat itu dapat direalisasikan di peringkat global.

“Jika kita ingin bersaing di peringkat Asia Tenggara, kita juga perlu melihat aspek keseniaan dan RUsSEL menjadi salah satu medan terbaik sebagai tanda komitmen Kerajaan yang mahu membugar kesenian supaya berjaya dengan industri lain,” katanya.

Haz Yusup bersama karya menggunakan media cat minyak atas kanvas yang dipamerkan dalam Pameran Seni Rupa ‘Sisarasa’ Residensi Seni 2/2019 Rumah Seni Selangor, Petaling Jaya pada 8 November 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Penubuhan RUsSEL adalah ilham daripada Amirudin sendiri ketika menjadi EXCO Kebudayaan dan kini sudah mencatatkan kehadiran hampir 1,500 pengunjung serta menganjurkan lebih 30 program.

Bersempena RUsSEL Residensi sesi 2/2019, Suddin Lapo selaku pengurus menampilkan tiga pelukis berbakat iaitu Khairul Ehsani Sapari, Haz Yusup dan Fadhli Ariffin dengan menganjurkan SISARASA bermula 8 November sehingga 31 Disember ini.

Dengan 33 buah lukisan dipamerkan, antara tema yang diangkat dalam pameran ini adalah ‘Bawa’ Gunung Dalam Karya, Batasan Persepsi serta Manusia dan (M)alamnya.


Pengarang :