Amirudin Shari, Mesyuarat ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020 di Dewan Negeri Selangor pada 7 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MB tempelak pembangkang berdolak-dalih

SHAH ALAM, 7 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menempelak sikap pembangkang yang sering berdolak-dalih dalam isu penggunaan rizab Kerajaan Negeri demi kepentingan politik mereka.

Menyorot kisah lalu, Amirudin berkata, pembangkang sering mempersoalkan tindakan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dikatakan enggan membelanjakan rizab negeri.

Namun, Amirudin berkata, kini pembangkang mempersoalkan pula tindakan Kerajaan Negeri yang membelanjakan rizab berkenaan untuk menambahbaik urus tadbir dan penggantian paip air.

“Menjawab persoalan Sungai Burong yang mengatakan rizab yang tinggi itulah yang baik sebenarnya inilah yang disebut ‘flip-flop’.

“Sebelum ini (era Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) mereka kata kalau tidak belanja rizab tak boleh.

“Sekarang bila Kerajaan Negeri belanja dan saya sebutkan RM700 juta untuk betulkan urus tadbir serta penggantian paip air, dia kata tak betul, zaman Tan Sri Khalid pula yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata, walaupun beliau juga boleh mendedahkan fakta berhubung kelemahan pentadbiran era bekas Menteri Besar Selangor itu namun beliau tidak berminat berbuat demikian.

Katanya, pada masa ini Kerajaan Negeri tekad memfokuskan usaha mereformasi ekonomi dan kewangan negeri.


Pengarang :