AGENDANASIONAL

MB ucap tahniah kepada Dr Jemilah

SHAH ALAM, 4 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan tahniah kepada pengasas Mercy Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood yang dipilih sebagai pemenang Hadiah Asean 2019.

Beliau berkata pengiktirafan itu bertepatan dengan usaha keras Jemilah dalam membantu orang ramai ketika menghadapi konflik global.

“Tahniah kepada Dr Jemilah atas pengiktirafan dan penerimaan anugerah ini.

“Pengiktirafan ini sesuai dengan usaha kerasnya dalam membantu pelbagai golongan ketika konflik global berlaku,” katanya menerusi ciapan Twitternya.

Pengasas Mercy Malaysia Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dipilih sebagai pemenang Hadiah Asean 2019 sebagai mengiktiraf peranan utamanya dalam pelbagai misi kemanusiaan dan pengurusan bencana di rantau ini.

Beliau adalah rakyat Malaysia pertama menerima anugerah itu, yang diperkenalkan di Singapura tahun lalu.

Dr Jemilah, 60, menerima trofi dan hadiah wang tunai US$20,000 (RM83,100) daripada Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha dan Setiausaha Agung Asean Datuk Lim Jock Hoi pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Asean ke-35 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini hari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin negara anggota Asean yang lain menyaksikan majlis penyampaian anugerah itu.

Dr Jemilah adalah anggota pasukan kepimpinan kanan di Persekutuan Antarabangsa Bulan Sabit Merah, mewakili kepentingan dan Setiausaha Agung pertubuhan itu apabila diperlukan.

Hadiah Asean merupakan anugerah berprestij bertujuan mengiktiraf pencapaian cemerlang dan mencetuskan inspirasi oleh seseorang individu atau pertubuhan dalam memupuk identiti Asean, mempromosi semangat Asean serta memperjuangkan hala tuju Asean.


Pengarang :