PBTSELANGOR

MBPJ laksana kutipan parkir berbayar di 63 lokasi

SHAH ALAM, 13 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan melaksanakan zon kutipan letak kereta berbayar di kawasan baru bermula 2 Disember ini.

Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporatnya berkata pelaksanaan zon kutipan itu membabitkan 14 kawasan baharu meliputi 63 lokasi jalan di sekitar Petaling Jaya.

“Kutipan fi tempat letak kereta bertujuan untuk memastikan pengurusan dan penyelenggaraan petak letak kereta awam dapat dilaksana dengan cekap.

“MBPJ juga mahu memastikan tiada penyalahgunaan petak letak kereta awam selaras misi MBPJ menyediakan kemudahan dan perkhidmatan berkualiti demi kesejahteraan bandar,” katanya dalam kenyataan.

Antara kawasan terbabit ialah Seksyen 5, PJS3 (Taman Sri Manja), PJS5 (Pusat Perniagaan PJCC), PJS10, PJU 1A, PJU5, Kota Damansara, PJU6 dan PJU 7.

Kenyataan itu turut menyebut kadar fi tempat letak kereta di kawasan baru yang terbabit adalah sama seperti kawasan sedia ada.

MBPJ memaklumkan berkuatkuasa Isnin hingga Jumaat bermula 8.30 pagi hingga 6.30 petang, kadar bayaran ditetapkan adalah RM0.60 sejam, RM5 sehari dan RM100 sebulan.

Orang ramai boleh membuat bayaran dengan mendapatkan kupon letak kereta daripada ejen yang dilantik oleh MBPJ berhampiran lokasi atau menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking (Google Playstore dan Appstore).

Manakala, cara semak atau bayar kompaun ialah dengan melayari Sistem Perhubungan Pelanggan MBPJ https://embpj.mbpj.gov.my/, menggunakan aplikasi SmartPJenforcement (Google Playstore) dan Smart Selangor Parking (Google Playstore dan Appstore).


Pengarang :