PBTSELANGOR

MBPJ laksana zon caj parkir di 14 kawasan baharu

PETALING JAYA, 27 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan melaksanakan zon kutipan letak kereta berbayar di 14 kawasan baharu bermula 1 Disember ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, pelaksanaan itu meliputi 63 lokasi jalan di sekitar pihak berkuasa tempatan berkenaan.

“Antara kawasan terbabit ialah Seksyen 5, PJS 1, PJS 3 (Taman Sri Manja), PJS 5 (Pusat Perniagaan PJCC), PJS 10; PJU 1A Ara Damansara (Pusat Perniagaan Taipan 1), Dataran Ara Damansara (Pusat Perniagaan Taipan 2) dan Pusat Dagangan NZX.

“Ini termasuk PJU 5 Taman Teknologi (Kota Damansara), Kota Damansara Seksyen 4; Seksyen 5; Seksyen 6; Seksyen 7 dan Seksyen 8 serta PJU 6 dan PJU 7,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBPJ Bil.11/2019 di Ibu Pejabat MBPJ di sini hari ini.

Mohd Sayuthi berkata langkah itu bagi memastikan pengurusan dan penyelenggaraan petak letak kereta awam dilaksana dengan cekap, sekali gus menjamin perkhidmatan berkualiti kepada pengguna.

Katanya tindakan penguatkuasaan juga dapat dijalankan di kawasan berkenaan bagi memastikan tiada penyalahgunaan parkir.

“Kadar fi parkir di kawasan baharu sama seperti sedia ada iaitu 60 sen sejam atau sebahagian daripadanya, RM5 sehari dan RM100 sebulan,” katanya.

Orang ramai boleh membuat bayaran dengan mendapatkan kupon letak kereta daripada ejen yang dilantik oleh MBPJ berhampiran lokasi atau menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking (Google Playstore dan Appstore).

Manakala, cara semak atau bayar kompaun ialah dengan melayari Sistem Perhubungan Pelanggan MBPJ https://embpj.mbpj.gov.my/, menggunakan aplikasi SmartPJenforcement (Google Playstore) dan Smart Selangor Parking (Google Playstore dan Appstore).


Pengarang :