Penasihat ekonomi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhammed Abdul Khalid.
AGENDANASIONAL

Mekanisme TIN mampu elak culas bayar cukai

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Langkah pemberian Nombor Pengenalan Cukai (TIN) yang diperkenalkan dalam pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini, akan membantu mengelak perbuatan culas atau mengelak daripada membayar cukai, kata pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid, hari ini.

Beliau yang juga Penasihat Ekonomi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pada tahun lalu kerajaan memperkenalkan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang berakhir pada September dengan sejumlah 450,000 notis makluman diserahkan kepada 250,000 individu yang tidak mengisytiharkan pendapatan mereka.

“Jika anda tidak tampil mengemukakan maklumat berkaitan, kerajaan akan mengenakan penalti sehingga 300 peratus. Ini adalah strategi pertama untuk memastikan semua (yang layak) tidak terkecuali menunaikan tanggung jawab itu. Strategi kedua adalah pengumuman kerajaan bahawa individu berusia lebih 18 tahun akan diberikan Nombor Pengenalan Cukai.

“Apabila anda membeli hartanah atau melakukan sebarang transaksi kewangan, anda perlu mengemukakan Nombor Pengenalan Cukai itu agar kami dapat mengesan sumber kewangan anda.

“Oleh itu, perbuatan mengelak cukai akan menjadi lebih sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan hadirin berhubung tindakan golongan kaya mengelak daripada membayar cukai, pada sesi perbincangan bertajuk ‘Agenda Ekonomi: Jurang Minda – Beralih Ke Arah Kemakmuran Bersama,’ di Forum Ekonomi Belia 2019 di sini.

Forum sehari itu dianjurkan oleh Persatuan Alumni Felow Perdana.

Muhammed berkata sebarang tindakan pengurangan cukai juga tidak dapat merangsang ekonomi.

“Ada yang kata tindakan mengurangkan cukai itu bagus..ini mengarut. Potongan cukai sama sekali tidak akan merangsang ekonomi dan ia bergantung kepada siapa dan tujuan pengurangan itu,” katanya.

Semasa membentangkan Belanjawan 2020 pada bulan lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata rakyat Malaysia berusia lebih 18 tahun selain entiti korporat akan diberi TIN berkenaan yang dijangka dilancarkan pada Januari 2021.

Menurut Lim, sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan akan dimulakan pada tahun depan dalam usaha melaksanakan inisiatif berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :