PENDAPATRENCANA

Mentaliti jaga kebersihan tandas awam perlu diperbetul

KUALA LUMPUR, 2 NOV: “Tak perlu tunggu satu jamlah kalau nak tengok tandas awam kembali kotor setelah dibersihkan. Dua puluh minit dah boleh tengok pelbagai jenis kotoran. Itu tak termasuk lagi air yang melimpah di lantai.

“Kalau satu hari kena cuci berulang-ulang kali (asal kotor sahaja kena bersihkan sebab ada pemantauan), memang patutlah ada yang bebel jaga 10 bayi lebih baik daripada jaga tandas awam. Entahlah, yang peliknya kebanyakan pengguna bukannya budak kecil tetapi orang dewasa,”.

Demikian luahan Zawil Fadzilah Yahya, 60, atau lebih dikenali sebagai Zazsa dalam kalangan rakan-rakannya ketika ditanya Bernama mengenai pengalamannya yang sebelum ini pernah bekerja sebagai pencuci tandas awam sekitar ibu negara.

Mengenali suri rumah ini pada tahun 2014 ketika ditugaskan membuat rencana mengenai isu perumahan Program Perumahan Rakyat (PPR), penulis yang menemuinya di sebuah medan selera di Lembah Klang baru-baru ini sengaja mengajaknya duduk semeja menikmati mi rebus kerana sudah lama tidak mendengar khabar berita wanita yang banyak membantu dalam menyiapkan rencana mengenai topik berkenaan.

Banyak yang diperbualkan, namun pengalamannya yang bekerja sebagai pencuci tandas awam selama dua tahun (2007-2008) begitu menarik perhatian.

Menceritakan lebih lanjut, ibu kepada tiga orang anak ini berkata, biarpun dia sudah lama berhenti daripada perkerjaan tersebut namun hubungannya dengan beberapa rakan yang masih lagi mencari rezeki sebagai pencuci tandas tidak pernah terputus.

Malah, daripada mereka jugalah dia sering kali mendengar rintihan serta keluhan berkaitan dengan sikap kebanyakan masyarakat hari ini yang masih lagi tidak berubah dalam menghargai kemudahan awam yang sangat penting ini apabila berada di luar rumah.

“Ada masa terluang, saya kerap berjumpa kawan-kawan yang masih lagi kerja mencuci tandas. Kerja ini sebenarnya letih mental dan fizikal tetapi orang sentiasa ingat kerja ni senang dan macam tidak banyak kerja sedangkan mereka tidak tahu berapa kali tandas awam perlu dibersihkan.

“Memanglah kerja mereka, tetapi bayangkan kalau tidak sampai setengah jam baru habis cuci dah kotor balik, apa cerita? Mental pun kena kuat kerana perlu banyak bersabar dengan sikap pengguna yang kebanyakannya masih kurang kesedaran sivik,” katanya.

Anda rosakkan, kami bayar

Apa yang paling dikesalkan oleh wanita kelahiran Hulu Langat, Selangor ini adalah keperitan yang dialami kawan-kawannya itu bukanlah berlaku selepas 20 minit selesai pembersihan tandas tetapi bermula ketika kerja pencucian sedang dilakukan.

Ini kerana masih ramai pengguna yang bersikap degil dan memasuki tandas meskipun pencuci sedang bertungkus lumus menjalankan kerja mereka dan papan pemberitahuan sudah diletakkan di luar tandas.

“Mungkin ada yang perlu menggunakan tandas tetapi ia masih menyusahkan. Ada yang melulu masuk dengan kasut yang kotor. Kenalah pencuci membersihkan berulang kali.

“Mereka tak tahu pencuci akan dimarahi penyelia. Dituduh ponteng kerja kerana tandas kotor sedangkan mereka ini kerja teruk dari pukul 7 pagi sampai 7 malam dan setiap hari mengadu sakit tulang belikat dan pinggang.

“Angkat semua bahan kimia, alat pencuci dan kipas pengering itu bukannya ringan, anggaran dalam 10 kilogram lebih kipas tersebut. Itu tidak termasuk lagi kes pecah sinki, pecah mangkuk tandas. Tukang cuci kena ganti barang yang rosak, secara potong gaji kerana ia berlaku semasa tanggungjawabnya menjaga tandas berkenaan,” katanya.

Biarpun, kos ganti rugi untuk kerosakan tersebut hanyalah sebahagian daripada harga asal, namun ia tetap membebankan mereka yang kebanyakannya tergolong dalam kumpulan B40 ini.

Congaklah sendiri pendapatan mereka yang berbaki setelah dipotong gara-gara sikap tidak bermoral segelintir pengguna yang tidak sengaja atau memang sengaja merosakkan harta awam. Berapa sangat yang tinggal untuk menyara keluarga.

Sedangkan pada masa sama, ada pengguna tandas awam sering kali merungut dan berasa jijik dengan tandas yang kotor dan mempersalahkan tukang cuci.

Walhal, bukankah kebersihan tandas juga tanggungjawab bersama?

Semua bertanggungjawab

Tidak dinafikan, tugas hakiki pencuci memastikan tandas dibersihkan, namun ini tidak bermakna pengguna boleh menggunakan tandas sesuka hati. Jangan fikir kerana tukang cuci dibayar untuk membersihkan tandas, sudah menjadi kerja mereka membersihkan segala kekotoran.

Mentaliti ini perlu diperbetulkan segera kerana jika tidak, keadaan tandas awam yang kotor dan menjijikkan akan berterusan dalam sistem kehidupan negara ini.

Lebih-lebih lagi menjelangnya waktu puncak iaitu ketika musim cuti sekolah, perayaan mahupun hari minggu. Dengan jumlah ratusan mahupun ribuan pengunjung membanjiri pusat membeli-belah dan kawasan pelancongan, tahap kebersihan awam sudah pasti akan terjejas teruk!

Isu kebersihan tandas turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui amat malu dengan keadaan tandas awam di negara ini.

Beliau sebelum ini dalam satu petikan berita berkata tandas awam yang kotor dan busuk mencerminkan masyarakat Malaysia tidak mempunyai tanggungjawab sivik.

“Itu mencerminkan sifat yang ada pada kita. Sepatutnya kita berasa malu, tetapi kita berpendapat, tak ada orang akan tahu siapa (yang) buat,” katanya semasa berucap melancarkan Pendidikan Sivik baru-baru ini.

Malah, beliau juga berkata, permasalahan ini bukanlah disebabkan undang-undang yang tidak ketat tetapi individu sendiri gagal mengawal dan mendisplinkan diri.

Mengulas mengenai isu berkenaan, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Prof Dr Ahmad Ismail berkata, pemupukan amalan kebersihan biarpun nampak remeh oleh sesetengah pihak ia sebenarnya perlu diberi penekanan jitu dan sewajarnya bermula sejak dari awal lagi iaitu semasa kanak-kanak.

Namun begitu, sistem pendidikan negara yang lebih berorientasikan akademik serta kurang tumpuan ibu bapa dalam membudayakan anak mereka berkaitan aspek tersebut dilihat beliau sebagai antara punca mengapa kebanyakannya gagal mempraktikkan amalan murni itu sebaik meningkat dewasa.

“Isu tandas, sampah merupakan isu lama yang masih gagal dalam sistem pendidikan kita. Kefahaman mengenai keperluan, cara penggunaan tandas termasuk menghormati kemudahan tersebut sebagai hak bersama orang awam perlu dilaksanakan secara berterusan oleh sistem persekolahan dan ibu bapa.

“Pendidikan menggunakan tandas dengan betul mestilah bermula di rumah dan diamalkan di sekolah. Kedua-dua tempat ini mesti dipantau ibu bapa dan guru kerana apabila mereka berdisiplin ketika menggunakan tandas sekolah dan rumah, secara semula jadi budaya tersebut akan terbawa-bawa di tandas awam,” katanya.

Dasar Kebersihan Negara

Memberi contoh negara Jepun sebagai model kejayaan pembudayaan amalan murni itu yang diterapkan kepada anak mereka sejak dari kecil, beliau berkata, sudah tiba masanya untuk semua pihak memainkan peranan penting akan perihal kebersihan.

Ia bukan sahaja berkaitan aspek tandas tetapi pelbagai juga perkara lain harus diambil perhatian jitu termasuklah masih ramai daripada kita tidak tahu atau sengaja buat tidak tahu cara pembuangan sampah dengan betul.

Justeru, beliau melihat Dasar Kebersihan Negara (DKN) yang akan dilancarkan pada Ahad ini (3 November) di PPR Tehel, Melaka, adalah sangat bertepatan masanya dalam meningkatkan kesedaran dan membudayakan amalan kebersihan kalangan masyarakat.

DKN yang dijangka dilancarkan oleh Dr Mahathir dan merupakan dasar kebersihan pertama yang khusus untuk negara adalah inisiatif kerajaan untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih, mampan dan sejahtera. Ini dilaksanakan melalui pembudayaan amalan kebersihan diri, keluarga, komuniti dan masyarakat dalam usaha melestarikan alam sekitar.

Pelaksanaan dasar ini dijangka bermula pada 2020 sehingga 2030 dengan semakan semula pada tahun 2025.

Pada Februari lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin dipetik berkata, terdapat tiga komponen penting dalam DKN iaitu mempromosi budaya menukar sampah sebagai punca pendapatan; meningkatkan kesedaran dan peranan komuniti dalam kebersihan negara; dan agensi yang bertanggungjawab perlu mengkaji teknologi dan program terkini bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.

Menariknya juga, antara hala tuju dasar tersebut adalah meningkatkan imej pekerja pembersihan supaya kerja tukang sapu atau pengangkat sampah tidak lagi dipandang jijik.

Zuraida dipetik berkata, dasar berkenaan akan membolehkan pekerjaan dalam bidang pembersihan seperti tukang sapu dan pengangkat sampah sebagai kerjaya yang mempunyai sijil dan latihan.

“Dengan adanya pensijilan, pekerja pembersihan akan dilatih supaya mereka mahir dalam skop tugas masing-masing seperti cara menyapu sampah dengan betul,” katanya.

Artikel ini sempena pelancaran Dasar Kebersihan Negara (DKN) yang akan dilancarkan esok.

– BERNAMA


Pengarang :