BUDAYARENCANA

Merenung meta: Filem dibingkai filem

Oleh Adam Taufiq Suharto

NINA Wu ingin jadi bintang filem. Dia tinggalkan pekan kecil, tempat membesar lalu berhijrah ke Taipei. Semuanya demi mengabulkan mimpi, ingin jadi bintang filem. Mimpinya kemudian dikabulkan Tuhan. Dia mula ke set penggambaran sebagai aktres. Namun, dari satu babak ke satu babak, Nina kian keliru yang mana satu ruang lakonan dan yang mana bukan lakonan, yang mana filem, yang mana bukan filem. Bukan Nina sahaja, tetapi spektator juga dihambat kekeliruan dengan twist dan turn antara babak nyata dan tak nyata. Kadang yang dirasa nyata, hanya lakonan, dan yang dirasakan lakonan pula, kian seolah-olah nyata.

Terdapat beberapa babak, kita dibiarkan saja melihat track yang digunakan untuk syot tracking yang sedang kita tonton. Di situlah kita akan menerima, pada naskhah Nina Wu tidak ada yang realiti, semua yang terpancar pada layar cuma lakonan, bikinan. Semuanya artifisial, semuanya filem. Sutradaranya cuba membikin suatu bentuk filem yang dibingkai filem; filem yang menyeberangi bentuk filem.

Pengalaman menonton Nina Wu (2019) karya Midi Z sekaligus mengingatkan saya sesuatu yang kian saya lupakan yakni metasinema. Metasinema sebenarnya dipinjam daripada terma susastera yakni metafiksyen yang pertama kali diungkapkan William H. Gass dalam Fiction and Figure of Life pada 1970. Metasinema, sebuah bentuk filem yang melangkau atau mengaburkan batasan fiksyen dan realiti. Bentuk fiksyen ini memiliki beberapa kategori seperti poioumenon, mise-e- abyme dan mimesis. Esei ini akan berfokus kepada kategori poioumenon, seperti Nina Wu (2019), Moment of Innocence (1996), Adaptation (2002), 8 ½ (1963) dan The Player (1992). Terma poioumenon pertama kali ditimbulkan Alaistair Fowler, seorang kritikawan sastera dalam History of English Literature pada 1990 bagi merujuk kepada naratif yang bercerita tentang proses kreatif sesuatu karya. Maksudnya, kita (spektator) dipertonton bagaimana filem yang sedang ditontoni disiapkan; kurang lebih begitu.

Sebahagian berpendapat, metasinema dimulai dengan Dziga Vertov via filemnya berjudul Man with A Movie Camera (1926). Spektator dihidangkan ‘diari’ pembikin filem yang ‘dikarang’ dengan lensa kamera. Eksplorasi terhadap disiplin metasinema kemudiannya tersebar ke seluruh dunia biarpun Hollywood terlebih dahulu mendapat perhatian daripada para kritikawan dunia akan pengamalan bentuk ini. Namun kemudiannya, tidak boleh tidak, sinema dunia terus mencerap dan mengeksploitasi metasinema. Muncullah magnum opus seperti 8 ½ (1963) oleh Federico Fellini, Saalam Cinema (1995) dan Moment Of Innocence (1996) arahan Mohsen Makhmalbalf, dan Close-Up (1990) arahan Abbas Kiarostami juga banyak lagi.

Semuanya tidak lain tidak bukan mahu melakukan refleksi terhadap sinema baik mengkritik mahupun meromantiskannya. Misalnya, Salaam Cinema (1995), Mohsen cuba menangkap ragam rakyat Iran dalam sebuah uji bakat filem yang diadakan oleh Mohsen sendiri. Kita dipaparkan dengan pelbagai karakter, seorang buta yang menangis hiba mahu berlakon dalam filem, seorang wanita yang mahu berlakon filem semata-mata ingin mengembara ke Cannes dan bermacam-macam lagi kerenah dan keragaman. Mohsen cuba merefleksi kecintaan dan kecaknaan warga Iran terhadap sinema sempena seratus tahun usia sinema di Iran.

Sebelum tahun ini Midi Z memberikan kita Nina Wu (2019), yang cuba menonjolkan skeptiknya Midi Z terhadap sinema popular yang lebih mengkehendakkan menjual tubuh berbanding menjual bakat. Shinichirou Ueda pada tahun lalu menghadiahkan kita dengan One Cut Of The Dead (2018), sebuah komedi yang menyeronokkan tentang sebuah produksi yang ingin membikin filem tentang zombi tetapi tiba-tiba diserang zombi sebenar (yang juga bukan zombi sebenar!). Ueda juga ada membikin sebuah syot tangkapan sekali (one take) lebih empat puluh minit tanpa henti dan kemudian, pada satu bahagian kita dipaparkan bagaimana babak empat puluh minit tanpa henti dibikin. Terlampiaslah perasaan romantis pada sinema. Ini memang sifatnya metasinema yang mahu kita tahu proses filem disiapkan, bagaimana filem itu dibikin. Umpama ahli silap mata yang membongkarkan silap matanya.

Di Malaysia, terdapat beberapa filem yang terlihat cuba mengamalkan metasinema (sama ada secara sengaja atau tidak sengaja). Antara yang menghiburkan sudah tentu Anita: Dunia Ajaib (1982) yang membentuk metasinema dengan ‘jujur’. Titik temu meta-nya apabila Hail Amir yang memegang watak Amir ingin membikin filem berjudul “Anita: Dunia Ajaib” lalu meminjam wang dari Bank Bumiputera yang di luar filem memang Bank Bumiputera yang memberikan wang untuk bikin filem! Walaupun temanya masih mengumbar kebobrokan penerbitan filem di Malaysia (dalam kes filem itu, ia adalah Amir sendiri yang tak siap-siap membikin filem!) tetapi bentuk filemnya secara tak langsung mencapai metasinema. Kemudian, muncullah yang lainnya seperti Kembar Siam (1989), Layar Lara (1997), Terbaik Dari Langit (2014) dan terbaru You Mean The World To Me (2017).

Akhir sekali, metasinema tidak terbatas untuk dibaca dalam konteks filem semata-mata. Metasinema merupakan pendekatan yang berupaya untuk membongkar keplastikan (plasticity) medium filem. Ini merupakan respon kepada kegagalan spektator selama ini untuk mengasingkan kepercayaan dalam realiti dan dalam fiksyen (suspension of disbelief). Metasinema juga refleksi kepada dunia pasca kebenaran yang sedang melalui krisis pengaburan fiksyen dan fakta dek kebuasan setiap autoriti untuk memanipulasi fakta-fakta yang ada. Maka, ada benarnya kata Shakespeare, “Dunia adalah pentas, manusia pula adalah para pelakonnya.” Persoalannya, adakah kita akan terus keliru seperti Nina Wu, yang tidak sedar semuanya hanya… lakonan?


Pengarang :