Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail menjawab soalan ketika Sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 11 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Mesyuarat khas cari solusi bangunkan semula Bazar Darul Ehsan

SHAH ALAM, 11 NOV: Satu mesyuarat khas akan diadakan bagi mencari solusi terbaik dalam usaha membangunkan semula Bazar Darul Ehsan, di Kanchong Darat, Banting yang didakwa lama terbiar dan mengalami banyak kerosakan.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, langkah itu wajar diambil supaya dapat merancakkan lagi pembangunan ekonomi, khususnya di daerah Kuala Langat.

Katanya, mesyuarat berkenaan akan membabitkan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bersama jabatan berkaitan termasuk Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Langat, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor.

“Pembinaan bazar ini mengalami beberapa masalah sewaktu pembinaannya yang bermula pada 29 September 2011 kerana terdapat dua kali pertukaran kontraktor dalam proses pembinaannya.

“Selepas melalui beberapa proses yang dikendalikan PDT Kuala Langat dan UPEN, bazar ini siap dibina pada 18 Disember 2012. Bagaimanapun, selepas siap dibina ia dinaik taraf kerana terdapat penambahan daripada segi kemudahan perkakasan, tetapi ia langsung tidak beroperasi,” katanya.

Beliau (PAKATAN-Batu Tiga) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Hasnul Baharuddin (PAKATAN-Morib) di Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata selepas melalui beberapa perbincangan, Bazar Darul Ehsan diletakkan di bawah seliaan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita pada April 2016 untuk penggunaan PWB Shoppe.

Bagaimanapun katanya, ia tidak berjalan seperti dirancang sehingga bazar terbabit diserahkan kepada Hijrah Selangor (HIJRAH) pada November 2017.

“Selepas penyerahan kepada HIJRAH selesai, mereka membuat penilaian dan memohon untuk dinaik taraf sekali lagi bazar ini dengan anggaran kos sebanyak RM500,000 kerana premis ini tidak pernah digunakan sejak selesai pembinaannya.

“Berdasarkan permohonan daripada HIJRAH, saya mengadakan mesyuarat pada 3 Oktober tahun lalu bagi membincangkan hala tuju bazar ini,” katanya.


Pengarang :