Rodziah Ismail melawat pameran pada Perasmian Mini Expo Usahawan Selangor (MEXUS) 2019 Daerah Hulu Langat di Bangi Gateway Shopping Mall pada 3 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

MEXUS bakal ditambah baik tahun depan

BANGI, 3 NOV: Mini Expo Usahawan Selangor (MEXUS) bakal ditambah baik pada tahun depan, kata EXCO Jawatankuasa Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Rodziah berkata, antara perkara yang akan ditambah baik adalah menerusi padanan perniagaan dengan membariskan usahawan kecil di Selangor dan pelabur yang berminat untuk mengambil golongan terbabit sebagai rakan kongsi.

Katanya, menerusi program itu Kerajaan Negeri akan menarik pelabur untuk melihat sekiranya mereka berminat untuk mengambil usahawan berkenaan sekali gus mempromosi produk mereka.

“Menerusi “business matching” ini kita akan kumpulkan barisan usahawan kecil dan mereka akan mempromosikan produk mereka kepada pelabur.

“Inisiatif ini satu perkara yang bagus kerana seperti kita tahu MEXUS sekarang hanya pusat sehenti membabitkan agensi kerajaan turun padang dan memberi perkhidmatan kepada usahawan.

“Namun, kali ini kita ingin membabitkan usahawan dan pelabur supaya mereka boleh bekerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Mini Expo Usahawan Selangor (MEXUS) 2019 Daerah Hulu Langat di Bangi Gateway Shopping Mall, di sini, hari ini.

Terdahulu, MEXUS buat kali ketujuh dianjurkan itu memilih Hulu Langat sebagai destinasi dengan bertemakam fesyen.

Pengunjung yang hadir berpeluang menyertai klinik usahawan dan mendengar taklimat perniagaan daripada agensi yang menyediakan bantuan kepada usahawan serta perkongsian ilmu usahawan berjaya.

Melalui program ini, usahawan boleh belajar cara pemasaran digital dan bisnes atas talian. MEXUS juga sebagai pusat sehenti untuk usahawan seluruh Selangor mempertingkatkan potensi perniagaan mereka.


Pengarang :