AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MFLS lahir 26,000 belia berfikiran kritis

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Pelaksanaan Malaysia Future Leaders School (MFLS) berjaya melatih 26,000 anak muda di 22 Kem Wawasan di seluruh negara dalam tempoh enam bulan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia antara perancangan untuk agenda pembangunan belia secara menyeluruh bagi melatih golongan muda berfikiran kritis dan bergaya kepimpinan.

“Pelaksanaan dana belia atau geran belia juga telah direformasikan dengan ia tertumpu kepada pelaksanaan program dan bukan sahaja kepada dana pentadbiran semata-mata.

“Kementerian juga memberikan insentif padanan kepada pertubuhan belia yang merangkumi lebih banyak wanita, membawa masuk lebih ramai kepimpinan belia di bawah 30 tahun dan pada masa yang sama mempunyai kepimpinan berbilang bangsa juga agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Yamani Hafez Musa ( PH-Sipitang) yang ingin tahu perancangan untuk agenda pembangunan belia secara menyeluruh, termasuk penyediaan kemudahan sukan di luar bandar.

MLFS adalah program baharu menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) yang dirangka secara holistik dengan menggabungkan kegiatan dalaman dan luaran yang berimpak tinggi.

Tegasnya, kerajaan juga melipatgandakan usaha mencungkil kepimpinan anak muda melalui program Felo Perdana, Felo Korporat dan juga Parlimen belia pada tahun akan datang daripada kategori sekolah dan juga wanita untuk memastikan supaya suara mereka tidak akan disampingkan.

Selain itu, Program Riben Kuning dan peluang kedua akan diberikan kepada kumpulan belia berisiko di mana laluan khas akan diberikan untuk menyertai institusi TVET negara sama ada melibatkan program diploma dua tahun atau kursus jangka pendek bagi memastikan mereka mendapat pekerjaan.

– BERNAMA


Pengarang :