AGENDANASIONAL

MH360 patah balik kerana masalah gear pendaratan

PUTRAJAYA, 10 NOV: Penerbangan Malaysia Airlines MH360 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing semalam terpaksa berpatah balik ekoran masalah gear pendaratan.

Dalam kenyataan hari ini, Malaysia Airlines berkata demi keselamatan penumpang, kapten pesawat membuat keputusan untuk berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pesawat itu mendarat dengan selamat pada 9.03 malam pada hari sama dan sedang diperbaiki jurutera.

“Penerbangan MH360 kemudian ditukar dengan pesawat lain, berlepas dari Kuala Lumpur pada 12.30 pagi 10 November dan tiba di Beijing pada 6.35 pagi pada hari sama,” menurut syarikat penerbangan itu.

Malaysia Airlines berkata makanan ringan disediakan untuk semua penumpang dan syarikat penerbangan itu juga mengatur semua penerbangan sambungan seterusnya.

“Keselamatan adalah keutamaan nombor satu Malaysia Airlines pada setiap masa dan pihak kami menyesali kesulitan yang dihadapi penumpang,” tambah kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :