Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Misi cari kapsul masa di Antartika

SHAH ALAM, 14 NOV: Tiga wanita muslim yang dipilih sebagai Ratu Ais bagi ekspedisi ke Antartika diberi tanggungjawab penting untuk melunaskan misi mencari dan membawa pulang kapsul masa lama ditanam wirawati negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir pada 2004.

Sharifah yang juga Mentor Ekspedisi Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA) berkata, menerusi pengembaraan bersalji yang bermula 18 Disember ini, kumpulan terbabit juga ditugaskan untuk menanam kapsul masa baharu.

Katanya, kapsul itu ditanam sebagai menyuntik inspirasi kepada generasi baharu untuk menakluki benua Antartika sebelum atau pada 2020.

“Saya mahu mengotakan janji yang terakhir (mencari kapsul), oleh sebab itu saya mengambil pendekatan untuk membentuk ikon dan protege baharu.

“Sekurang-kurangnya kita ada pelapis untuk meneruskan pengembaraan ini dan mereka (tiga protege) adalah orangnya.

“Kita harap kapsul (mengandungi mandat bekas Perdana Menteri) dapat ditunjukkan kepada orang ramai. Jadi, kena tunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila kami kembali nanti,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar bagi memperkenalkan tiga protege terbaik ekspedisi itu, di Restoran Hakim, Seksyen 7, di sini hari ini.

Difahamkan, kapsul yang ditanam sejak 14 tahun lalu di Kutub Selatan itu perlu dilakukan segera berikutan lokasi penanamannya berada berhampiran sebuah pusat penyelidikan Amerika Syarikat, selain dibimbangi memasuki kawasan berkenaan.

Mengulas berhubung misi penanaman kapsul baharu, Sharifah berkata, kapsul berisi sepucuk surat itu kemungkinan mengandungi mesej atau pesanan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tempoh masa tertentu.

“Bagaimanapun, kita masih menunggu maklum balas daripada beliau (Tun Mahathir). Malah, kita juga sudah menghantar permohonan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk memasukkan misi ini.

“Kita juga membuka peluang ini untuk sesiapa sahaja termasuk penaja yang menyokong ekspedisi ini. Sekiranya tiada pesanan sebelum berangkat ke sana, AWETA akan meletakkan misi sebagai simbolik (ekspedisi) ini,” katanya.

Ketiga-tiga protege yang diwakili Siti Jumaidah Bensali, 34; Salehah Abu Nor, 33 dan Nurul Atiqah Tamarun, 31 dijangka menamatkan cabaran di benua Antartika pada 3 Januari tahun hadapan.


Pengarang :