Azman Mashuri bergambar bersama tiga pelajar yang bertuah mendapat hadiah istimewa kerana tidak pernah ponteng sekolah. Foto Ihsan SMK Tanjung Sepat, Kuala Langat.
AGENSISELANGOR

Motosikal hadiah istimewa buat pelajar rajin ke sekolah

KUALA LANGAT, 25 NOV: Seramai 52 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Laut, Tanjung Sepat sangat bertuah apabila mereka diraikan oleh guru dan pihak sekolah kerana mecatat rekod kehadiran 100 peratus pada tahun ini.

Lebih menggembirakan apabila seorang pelajar menerima motosikal Yamaha, dua lagi masing-masing menerima hadiah televisyen 32 inci dan pakej percutian ke Langkawi.

Hadiah-hadiah utama itu dimenangi ketiga-tiga pelajar itu menerusi cabutan bertuah manakala baki pelajar lain diberi sijil dan pelbagai peralatan sekolah.

Pengetuanya, Azman Mashuri berkata, menerusi rekod dari Januari hingga November lalu, pihak sekolah mencatatkan seramai 52 pelajar SMK Batu Laut, Tanjung Sepat tidak pernah ponteng sekolah.

“Daripada jumlah pelajar tidak ponteng itu, kita melakukan proses cabutan bertuah bagi membolehkan mereka menerima tiga hadiah paling istimewa yang ditawarkan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, kesemua pelajar yang mengekalkan kehadiran 100 peratus menerima peralatan persekolahan dan 49 pelajar lain pula menerima sijil dan pelbagai peralatan sekolah bagi menghargai kerajinan mereka ke sekolah.

Mengulas lanjut, Azman berkata, Program Ponteng Sifar (Proponsif) itu diadakan buat kali kedua pada tahun ini dan menerima reaksi positif daripada pelajar.

Katanya, ia dibuktikan menerusi peningkatan jumlah kehadiran pelajar iaitu daripada 82 peratus pada 2017, 2018 (86 peratus) dan 90 peratus pada tahun ini.

“Matlamat utama ialah supaya pelajar lebih bermotivasi untuk ke sekolah kerana sekolah tempat untuk menimba ilmu dan pada masa sama melindungi mereka daripada melakukan aktiviti tidak bermoral.

“Apabila kehadiran meningkat, guru-guru dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) boleh memfokuskan cara bagi meningkatkan tahap akademik di sekolah ini,” katanya.

Katanya, walaupun SMK Batu Laut, Tanjung Sepat, sebuah sekolah kecil tetapi ia tidak menghalang beliau dan pengurusan untuk meletakkan kedudukannya pada tahap terbaik.


Pengarang :