EXCO SELANGOR

MPKL tumpu bina terminal bas serba lengkap

SHAH ALAM, 14 NOV: Selepas mendapat status penaik tarafan sebagai Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), kini tiba masa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memberi sepenuh tumpuan terhadap usaha pembinaan sebuah terminal bas yang dilengkapi pelbagai kemudahan.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya sudah mengenal pasti tapak terminal bas itu yang terletak bersebelahan pasar awam Banting.

“Tapak sudah ada, cuma bangunan terminal belum ada lagi dan sekarang kita sedang mengukur tapak berkenaan bagi tujuan pembinaan.

“Kita juga akan berusaha mencari dana pembinaan daripada beberapa pihak termasuk kementerian dan Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari ketika di sidang Dewan Negeri Selangor memaklumkan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berjaya menukar statusnya kepada majlis perbandaran.

Katanya, perkara berkenaan disahkan melalui surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 31 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Mohamad Zain berkata, pihaknya komited untuk terus meningkatkan segala kemudahan di kawasan pentadbiran terbabit bagi memastikan keselesaan penduduk terjamin sepanjang masa.

“Saya berterima kasih dengan pengumuman dibuat beliau (Amirudin Shari) berhubung status penaik tarafan MDKL kepada MPKL.

“Kita berada pada tahap bersedia sepenuhnya dengan penaik tarafan ini,” katanya.

Sehingga kini, Selangor mempunyai dua majlis bandaraya termasuk Shah Alam dan Petaling Jaya serta enam majlis perbandaran (Subang Jaya, Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang dan Sepang).

Sementara itu majlis daerah ialah Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Kuala Selangor.


Pengarang :