PBTSELANGOR

MPS korek halangan tapak pembuangan sampah haram

ULU YAM, 20 NOV: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menjalankan kerja pengorekan semula halangan di sebuah tapak pembuangan sampah haram berhampiran Lot 3591, Kampung Sungai Pusu, di sini semalam.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata operasi itu dibuat susulan laporan mendakwa longkang yang dikorek pihak berkuasa tempatan itu sebelum ini dikambus semula pihak tidak bertanggungjawab.

“Pada 15 November lalu, kita mengorek longkang di hadapan laluan masuk ke kawasan itu bagi mengelakkan kemasukan lori-lori sampah.

“Kita mengambil tindakan dengan mengorek semula longkang yang dikambus dengan bantuan seunit backhoe, sebuah lori loader dan jentera penggali,” katanya kepada SelangorKini.

Operasi bermula pada 9.30 pagi itu diketuai Unit Khas, Jabatan Penguat kuasa dan Keselamatan MPS dengan kekuatan 38 staf bersama bantuan jentera termasuk enam kakitangan jabatan dalaman MPS.


Pengarang :