PBTSELANGOR

MPS perkemas unit kawalan haiwan liar

RAWANG, 20 NOV: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan meningkatkan unit kawalan haiwan liar bagi memastikan aktiviti penangkapan anjing lebih berkesan di Bandar Tasik Puteri, di sini.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata aktiviti kawalan, tangkapan dan pemasangan perangkap dijalankan bagi menyelesaikan isu berkaitan anjing liar di kawasan terbabit.

“Berdasarkan statistik dari Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 38 aduan diterima dengan penangkapan 95 ekor anjing di sekitar Bandar Tasik Puteri.

“Operasi penangkapan anjing liar yang kita laksanakan mematuhi Tatacara Operasi Piawai ditetap daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Zin berkata pihaknya menghadapi cabaran apabila terdapat pihak yang melindungi haiwan itu daripada ditangkap dan memberikan makanan sehingga menyebabkan populasi anjing liar membiak tanpa kawalan.

“Selain itu, vandalisme ke atas perangkap anjing yang dipasang MPS menyumbang kepada masalah ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau melahirkan rasa kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang menyebabkan kematian enam anjing jalanan dipercayai diracun di sini, baru-baru ini.

Susulan insiden itu, katanya pihaknya segera mengambil tindakan dengan membuat kutipan bangkai anjing dan pembersihan ke atas kawasan terbabit.


Pengarang :