PBTSELANGOR

MPS serius pantau kawasan sampah haram

GOMBAK, 6 NOV : Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia dan Jawatankuasa Penduduk Zon 1 MPS mengadakan tinjauan di kawasan yang dilaporkan berlaku aktiviti pembuangan sampah haram di Jalan JKR (68) Gombak Lama, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, tinjauan itu diadakan berikutan aduan daripada orang awam yang tular di media sosial.

Katanya, MPS mendapati status tanah kawasan berkenaan adalah di bawah pengurusan Jabatan Hutan manakala status jalan diselenggara Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Hasil tinjauan, MPS mendapati sampah haram yang dibuang di kawasan berkenaan adalah jenis pukal, domestik dan kotak penghantaran makanan jenama “Food Panda”.

“Tinjauan yang bermula jam 11 pagi semalam mendapati kawasan itu sudah disita dengan dipasang tali kuning bagi menghalang daripada sebarang aktiviti pembuangan sampah haram dijalankan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, MPS turut mendapat maklum balas daripada JKR berhubung tindakan bagi mengawal aktiviti pelupusan sampah haram daripada terus berleluasa.

“Difahamkan, JKR akan meletakkan batu blok konkrit sebagai penghadang di tebing sungai terbabit dan kerja pembersihan dijalankan dengan mengorek keluar sampah daripada lereng tebing tanah rezab sungai dan jalan.

“Manakala, MPS juga akan mengeluarkan notis kepada pihak pengurusan “Food Panda” atas kesalahan membuang kotak penghantaran makanan milik syarikat mengikut Seksyen 4 Undang-Undang Kecil Pemungutan Sampah,” katanya.

Katanya, MPS memandang serius terhadap perkara itu terutamanya dalam aspek menjaga kebersihan alam sekitar.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati tidak bertanggungjawab dalam membuang sampah haram di kawasan pentadabiran MPS,” katanya.

Semalam, tinjauan itu turut disertai Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan, Affendei Samingan dan wakil Pejabat DUN Gombak Setia, Azahari Daud serta wakil JKP Zon 1 MPS.


Pengarang :