PBTSELANGOR

MPS sita peralatan restoran kacau ganggu parkir

SHAH ALAM, 3 NOV: Padah salah guna kaki lima dan petak parkir, peralatan empat restoren di Selayang Jaya dan Sri Gombak di sita Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam operasi bersepadu, kelmarin.

Yang Dipertua MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, dalam operasi bersepadu itu sebanyak 66 meja, 287 kerusi, 36 khemah dan pelbagai barangan perniagaan lain disita.

Katanya, operasi besar-besaran itu dilakukan berikutan MPS menerima aduan daripada orang ramai bahawa tindakan restoran berkenaan menjadi punca kesesakan lalu lintas.

“Operasi besar-besaran ini adalah sebagai satu mesej tegas kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha restoran dan kedai makan yang melanggar peraturan.

“Malah, operasi sebegini akan dilaksanakan dengan lebih kerap memandangkan ramai peniaga masih berdegil walaupun sudah beberapa kali diberikan notis dan kompaun,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, Shamsul Shahril berkata, tindakan itu dilakukan bagi memastikan keselamatan orang ramai khususnya pelanggan yang makan di premis terbabit.

“Untuk makluman, pengusaha restoran hanya boleh meletakkan kerusi meja yang mempunyai pelekat permit kebenaran dari MPS di kawasan hadapan kedai masing-masing,” katanya.

Terdahulu, turut serta dalam operasi terbabit adalah Timbalan Yang Dipertua MPS, Dato Dr Juhari Ahmad dan 60 Anggota Peguatkuasa dan Keselamatan serta pegawai dari Jabatan Pelesenan.

Tindakan Sitaan dibuat selaras dengan Seksyen 26 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1976 (Halangan Tred) manakala lesen premis terlibat juga ditarik selaras dengan UUK Pelesenan Tred, Perniagaaan dan Perindustrian serta notis pematuhan syarat lesen selama tujug hari dikeluarkan kepada pemilik premis.

Sementara itu, pada operasi sama, MPS turut menyita dan mengeluarkan kompaun ke atas satu rumah urut di Sri Gombak yang didapati beroperasi tanpa lesen.


Pengarang :