PBTSELANGOR

MPS tanam 10,000 pokok sejak 2016

RAWANG, 16 NOV: Lebih 10,000 pokok berjaya ditanam sejak Program Tanam Pokok Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dilancarkan pada 2016.

Yang Dipertua MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, inisiatif itu adalah tanda komitmen MPS mendukung aspirasi Kerajaan Negeri dalam memberi fokus kepada pemuliharaan alam sekitar.

“Kejayaan ini saya kira sudah membanggakan kerana MPS sejak 2016 telah melakukan beberapa aktiviti tanam pokok yang melibatkan pihak swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“Antara NGO terlibat seperti Standard Charterd, ANGKASA, Rotary Club, Rawang Lakes Sdn. Bhd., Persatuan Hikeup and Cleanup dan Tzu Chi Foundation,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada Karnival Alam Sekitar dan Kepenggunaan 2019 di Dataran Setia Tasik Biru, Kundang, di sini, hari ini.

Shamsul Shahril Badliza berkata, usaha itu diteruskan pada Karnival Alam Sekitar dan Kepenggunaan 2019 apabila sebanyak 200 pokok lagi ditanam.

Katanya, MPS dengan kerjasama Pertubuhan Perancang Malaysia turut mengadakan Program Tanam Pokok iaitu “Pledge And Plant A Tree 2.0’.

Katanya, program hari ini ditaja oleh Gamuda Land selaku penaja platinium, Sime Darby Property Bhd, Guocoland Berhad, SKS Coachbuilders, SP Setia Berhad dan lain-lain syarikat korporat.

“Semoga objektif menghijaukan kawasan bandar dapat membantu mengurangkan karbon berjaya dicapai,” katanya.


Pengarang :