PBT SELANGOR

MPSJ bantu belia B40 asah kemahiran tingkat taraf hidup

SUBANG JAYA, 6 NOV: Belia berpendapatan rendah (B40) perlu mempunyai kemahiran bagi membolehkan kelompok itu meningkatkan taraf hidup masing-masing, kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Zulkurnain Che Ali.

Justeru katanya MPSJ bekerjasama dengan Pusat Giat MARA Puchong menganjurkan program latihan kemahiran bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

Katanya ia bertujuan memberdayakan komuniti belia setempat supaya mereka boleh melibatkan diri secara aktif dan berdaya saing.

“Peserta turut didedahkan dengan taklimat berkenaan kursus teknologi automotif, teknologi baik pulih dan mengecat kenderaan serta pendawaian elektrik.

“Kami berharap satu hari nanti mereka mampu meningkatkan pendapatan keluarga seterusnya menjadi belia berjaya dan berkemahiran.

“Diharap supaya program ini menjadi pemangkin kepada agensi lain untuk bersama menggerakkan belia B40, sekali gus mendukung agenda dan matlamat di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Latihan Kemahiran Bersama Giat MARA 2019 bertempat di Dewan Serbaguna Kompleks 3K, di sini.

Hadir sama Pengurus Pusat Giat MARA Puchong, Hashim Ngah serta 150 peserta program.


Pengarang :